Monday, August 04, 2014

270 - Syawal 1435H

Hari ini genap seminggu Syawal disambut bagi tahun 2014 ini. Pertama kali beraya tanpa abah. Amat terasa buat aku. Walaupun aku tak rapat dengan abah tapi kehilangannya tetap dirasa.

Imbas kembali pagi 1 Syawal yang lalu, 'ribut' melanda keluarga aku. Tidak aku sangka pagi 1 Syawal sepatutnya semuanya bergembira, aku dikejutkan dengan berita yang amat....entahlah, tak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan aku pagi itu. Yang pasti marah, kecewa dan sedih bercampur baur menjadi satu.

Aku sangat-sangat lemah tika itu. Sudahlah kepenatan membuat persiapan raya seorang diri. Secara mental memang aku sudah kehabisan daya. Tapi aku gagahkan diri supaya emak gembira. Aku perlukan seseorang untuk aku luahkan segala apa yang aku rasa. Tapi, tika kita memerlukan seseorang...tika itu baru tersedar betapa berseorangannya diri kita. Aduhhh... tak dapat aku bayangkan perasaan aku tika itu. Di pagi 1 Syawal, sayu sangat rasa di hati.

Tapi alhamdulillah.... aku cepat-cepat kuatkan semangat demi emak. 'Ribut' yang melanda itu aku cuba harunginya juga. Aku perlu positif!! Demi emak, aku perlu tabahkan hati. Emak tak boleh tahu pasal keributan itu seandainya terpaksa.

Allahu Rabbi... dugaan-Mu di pagi Syawal lepas memang tidak terduga. Mungkin doa-doaku dikabulkan oleh-Mu tapi dengan cara yang berbeza. Semoga ianya memberi pengajaran kepada mereka berdua agar menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan.

Husnuzon....

Wednesday, July 16, 2014

269 - I'M NOT HAPPY!!!

Sudah 3 bulan aku ditukarkan ke zon baru tapi aku masih rasa ralat dengan apa yang berlaku. Berada di astaka ini seorang diri dan kadang kala ditemani dengan staf uspot (berdua saja) tapi aku sangat-sangat sunyi di sini. Bayangkan dari pejabat yang dipenuhi dengan hampir 200 orang dan kemudian berada di pejabat yang hanya ada 2 orang? Dapat tak korang bayangkan situasi aku sekarang macam mana?

Aku jadi stress di sini. Walaupun aku tak lah berada 8 to 5 di sini, selalu aku keluar pegi ke tempat lama untuk berjumpa orang. Tapi bila aku balik ke astaka nie, tapi aku jadi sangat-sangat tertekan dengan situasi aku sekarang. Aku tidak gembira dengan suasana pekerjaan aku sekarang. Boleh jadi murung aku kalau lama-lama di sini. Dan sekarang aku sudah merasa sedikit kemurungan itu sedang menguasai diri aku. Aku tak mahu macam nie!!!

Aku mahu bekerja dalam suasana yang 'hidup'. Ada orang di dalam pejabat yang boleh aku berbual-bual, bergurau dan berbincang tentang kerja. Lama-lama aku rasa kat sini aku jadi katak bawah tempurung. Nama saja kerja part IT tapi tak berkembang otak aku kat sini. Begitulah jadi orang yang tidak penting dalam organisasi. Dicampakkan ke tempat sebegini. Sedih betul aku rasa.

Cakap lah apa pun kat aku, semata-mata semuanya nak menutup perkara sebenarnya. Aku rasa mutu kerja aku sekarang ini sangat-sangat teruk. Kalau diukur mahu dari 90% merudum ke 10% saja. Itu yang aku rasa sendiri. Kalau penilaian orang, mahunya -50% agaknya.

Aku memang tidak gembira bekerja sejak ditukarkan ke sini. 




Thursday, July 10, 2014

268 - I have so much on my mind, but...

Ya... banyak yang bermain dalam fikiran aku. Terlalu banyak yang aku fikirkan hinggakan aku boleh stress dengan apa yang aku fikirkan. Apa yang aku fikirkan? Macam-macam... tentang diri sendiri, tentang mak, keluarga, masa depan dan segala-galanya. Hingga aku boleh jadi takut untuk menghadapi hari-hari mendatang. Ya Allah, aku takut... tapi aku perlu bersangka baik. In shaa Allah, pasti kehidupanku di masa hadapan.. pincang atau tidak semua atas kehendak-Mu Ya Rabb.


Wednesday, June 25, 2014

266 - Hati

Sakit kan hati bila memendam perasaan?
Pedih kan hati bila terluka?
Sedih kan hati bila terasa?
Pilu kan hati bila ianya tak seperti yang kita inginkan?
Remuk kan hati bila diduga?
Terguris kan hati bila tidak dipeduli?
Sayu kan hati bila hanya bertepuk sebelah tangan?
Yang paling teruk, semuanya ditanggung oleh hati...
Sendiri pulak tu...

Kasihan hati...
Sangat-sangat kasihan...
Kasihan kasihan kasihan...
Sabarlah ye hati...

#tragedi1sided<3 p="">



Thursday, June 19, 2014

265 - Trip ke Pulau Perhentian

Malam Khamis minggu lepas (12/6/2014), aku bersama Kak Long, Dr. Bob dan adik-adik fasi JPS seramai 15 orang telah berkonvoi ke Pantai Timur. Matlamatnya hendak ke Pulau Perhentian, Terengganu!! Wahhh... aku paling excited sebab tak pernah pergi dan jarang pergi trip ke pulau-pulau nie. Walaupun hati rasa cuak sebab kena naik bot. Bukan apa, mengenangkan diri nie jenis mabuk laut so memang cuak la kan.

Khamis malam dalam pukul 11 malam kami dah berkonvoi 5 buah kereta ke Kuala Besut. Kereta aku Hakim (driver) dan Jabbar yang join. Senang hati aku ada driver...hehehe.. tak payah la aku nak drive. Perjalanan dimulakan dengan bacaan doa supaya Allah merahmati dan mempermudahkan perjalanan kami ke destinasi yang dituju.

Dalam pukul 3 pagi, kami berhenti di Hentian Rehat Gua Musang untuk meluruskan urat-urat kaki. Geng-geng lelaki sibuk nak tengok bola. Ye la... World Cup 2014 dah bermula. Malam tu plak perlawanan pembukaan Brazil vs Croatio. Lagi la nak tengok semua. Tapi kat hentian tu tak pasang channel sports. Keciwa mereka...hahahahha.. maka berangkatlah ke gerai tepi-tepi jalan untuk tengok. Akhirnya dapat jumpa satu gerai dekat dengan Shell untuk layan bola. Muka puas hati btol puak-puak lelaki tu dapat tengok walaupun hanya separuh masa pertama.

Selepas abis separuh masa pertama, semua buat gerakan semula menuju ke jeti Kuala Besut. Kami singgah solat kt Machang dan sarapan sekali sebelum sambung semula perjalanan. Then sampai di jeti dalam pukul 9 lebih. Lepas settle parking kereta kat satu rumah nie, kami berjalan kaki dalam 10 minit menuju ke jeti. Settle pasal tiket, pukul 10 dah naik feri. Maka bermulalah perjalanan kami menuju Pulau Perhentian besar.

Perjalanan dengan feri dalam 45 minit je. Kami diangkut plak ke pantai dengan bot kecik. Aku memang cuak giler dah. Alahai, mula la rasa menyesal join...semata-mata takut naik bot kecik..hahahahaa... Tapi muka selamber jek..buat-buat berani. Padahal dalam hati, Allah je yang tau...hehehehe...

Alhamdulillah, berjaya juga menjejakkan kaki di Pulau Perhentian. View kat sana... memang superb! Sangat cantek! Subhanallah... tak pernah lagi aku pegi pulau yang air lautnya sangat jernih, sampai nampak semua coral dan ikan-ikan dalam air tu. Aku memang-memang bersyukur sebab join trip TOT budak-budak fasi JPS nie. Memang susah nak dapat peluang yang macam nie. Serius!!

Aktiviti di sini santai saja. Budak-budak fasi ada aktiviti kayak, snorkling, skuba dan trekking. Diaorang pon stail sempoi. Tau urus sendiri dan senang diuruskan. Dr Bob punya fasi semua independant. Bagus adik-adik akak semua ye...hehehehe...

Since dorang ada aktiviti sebegitu, aku pon menumpang sekaki la. Dapat la merasa snorkling tengok ikan. Bagi ikan makan dalam air dan biar ikan tu berebut-rebut cagut roti yang ada kat tangan aku dalam air tu. Perghhhh... sangat-sangat best moment itu! Real beb...ikan-ikan tu kerumun tangan kita. Pastu skuba lak, tak pernah-pernah terfikir pon aku dapat cuba. Kalau pergi bercuti sendiri-sendiri dan nak cuba skuba tu mau jugak 100 hengget untuk sewa peralatan skuba tu. Sempat la trainer tu bawak tengok coral. Wahhhh...bestnyer...!!!!

Trip 3 hari 2 malam kami berakhir bila Ahad tu dah bertolak balik semula ke Serdang. Walaupun menempuh perjalanan jauh tapi sangat berbaloi bila melihat keindahan ciptaan Allah Taala di Pulau Perhentian tu. Dan terasa nak repeat lagi kalau ada rezeki. Semoga dapat pergi bersama seseorang yang dipilih oleh Allah untuk menemani aku sepanjang hayat, ameen!





Friday, June 06, 2014

264 - 15 Anugerah Allah Pada Wanita Tidak Pada Lelaki


15 Anugerah Allah pada wanita tidak lelaki (via Blog akuislam.com)

1. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis tersebut. lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat?” Jawab mereka,”Tidak” Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat kaum orang lelaki.

2. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

3. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.

4. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.

5. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluhketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”

6. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

7. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”

8. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatit baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

9. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”

10. Sabda Nabi s.a.w. : “Ya Fatimah setiap wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Siratul Mustaqim.

11. Jika suami mengajarkan atau menerangkan kepada isterinya satu masalah agama atau dunia dia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

12. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

13. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

14. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

15. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya ia mentaati perintah tersebut dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau dan dirinya. Maksud hadis: Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah. 

Tuesday, June 03, 2014

263 - Adakah itu sepatutnya berlaku?

Bila terasa cuba untuk menjauhkan diri
Kamu pula datang mendekat

Bila terasa ingin memencilkan diri
Kamu pula datang memanggil

Bila terasa ingin bersembunyi
Kamu pula datang mencari

Jadi, bagaimana harus aku lakukan?
Lari dan terus lari?

Atau memang kita ditakdirkan bersama?

Sejauh mana kucuba menjauhkan diri, memencilkan diri dan menyembunyikan diri
Aku tidak pernah berjaya
Dengan kamu aku tidak pernah bisa melakukan semua itu...


Monday, May 26, 2014

262 - I don't like being alone


Siapa yang nak berseorangan kan? Hidup sorang-sorang hingga ke kertu (BACA: TUA). Mesti ada impian untuk berumahtangga, ada suami, ada anak-anak penyambung zuriat. Ada bahu untuk meluahkan suka dan duka, susah dan senang, berkongsi cerita dan macam-macam lagi. Dan aku, memang inginkan semua itu... sangat-sangat ingin untuk mengalami semua-semua itu.

Cuma sekarang aku masih lagi berseorangan.. :'(

Kadang-kadang terasa kecewa sangat dengan nasib diri. Tapi cepat-cepat beristighfar, setan dah cuba masuk jarum. Astaghfirullahal'azim... Jika semua ini halangan dan dugaan yang perlu aku lepasi sebelum dikurniakan apa yang aku inginkan, aku redha. Sudah pasti ada yang terbaik menanti aku di hadapan. Aku kena kuatkan hati dan yakin dengan kuasa Allah.

Untuk memujuk hati yang rapuh ini bukannya senang. I'm soooo fragile! Sedikit saja terhantuk, pecah berderai. Walaupun dicantumkan semula, ianya tidak akan seperti sebelumnya. Dan jika ianya pecah berderai kembali, bayangkan betapa sukarnya untuk mencantumkan kepingan-kepingan serpihan itu kembali ke asalnya.

Berkali-kali terluka biasanya akan membuatkan hati itu semakin kental..tapi sebelum ianya menjadi begitu harus menjalani proses penyembuhan. Proses itulah yang memerlukan masa yang lama. Membalut luka sendiri dan merawatnya sendiri. Luaran nampak sembuh, tapi dalamannya masih berdarah. Takkan biasa sembuh dalam masa yang singkat. Tak mungkin..

Senyuman ini hanya untuk menutup kedukaan sendiri. Kamu takkan dapat bayangkan apa perasaan itu jika sekiranya kamu tidak mengalaminya sendiri. Apabila kamu menyatakan kamu memahami perasaannya, sebenarnya kamu sedikitpun tidak memahami melainkan kamu mengalaminya sendiri. Jangan pernah sekali kamu mengucapkan kamu memahami. Tidak! Kamu takkan faham!

Aku tidak mahu sendiri. Walaupun, di mulut mengucapkan kamu ada kawan-kawan di sekeliling tapi mereka masih tidak dapat mengisikan satu tempat yang kosong dalam hati. Tempat yang memang dikhaskan untuk 'soul mate'. Hanya dia yang dapat mengisi tempat itu. Tapi, siapa 'soul mate' itu yang masih menjadi tanda tanya. Siapa?

Aku mengharapkan aku tidak sendiri untuk menjalani kehidupan ini sampai ke hujung waktu. Semoga Allah memperkenankan doa-doaku. Aku tahu, aku bukan hamba-Nya yang baik. Banyak khilafku pada-Nya. Mungkin sebab itulah, doaku masih belum disambut-Nya. Namun, aku tak pernah berhenti berharap.

Aku pasti ia akan tiba pada waktu yang tepat! Aku hanya perlu terus dan terus berdoa tanpa jemu.


Thursday, May 22, 2014

261 - Being nice

Berbuat baik sesama manusia memang dituntut dalam Islam. Malah jalan mudah untuk mendapat pahala. Walau orang itu pernah buat jahat pada kita, kita tetap perlu layan dia dengan baik. Tapi ada ke orang yang sebegitu sekali? Sanggup lagi melayan orang yang pernah buat jahat pada kita atau pernah menyakiti hati kita? Sanggup ke nak layan orang yang macam tu dengan hati yang ikhlas.

Nah, ikhlas juga menjadi persoalan. Bila ikhlas dipertikaikan, timbul pula soal 'bermuka-muka'. Jadinya, berbuat baik (being nice) bukannya menjadi orang yang bermuka-muka tapi ini menunjukkan kita cukup matang untuk mengatasi (handle) orang atau sesuatu masalah itu. Matang? Kenapa matang? Ok, cuba ambil contoh, kalau dia kutuk kita di belakang dan kita mengetahuinya. Kemudian kita pulak mengutuk dia semula di belakang. Tak ke kita dengan dia sama je perangai? Tak ada beza kita dengan dia. So, dia jadi jahat, kita pun sama jadi jahat. Satu tindakan yang salah dan nampak sangat tidak matang untuk handle masalah itu.

Tapi berbuat baik pun ada hadnya. Kadang-kadang kita kena tunjukkan 'sisi jahat' supaya ada yang 'aware' dan juga mengelakkan hati kita terluka. Mahukah hati terluka berkali-kali tapi tetap memaafkan perbuatan orang itu dan terus menerus berbuat baik pada dia. Bodoh namanya tu...hehehe...

Dan satu yang paling penting... berbuatlah baik tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bukankah itu lebih baik. Biarlah ganjaran itu datangnya dari Dia. Ganjaran yang tidak dijangka oleh kita.. itu kan lebih sweet! :)

Bagi aku selagi orang buat baik dengan aku, aku juga akan buat baik pada dia. Kalau sekali dia sakitkan hati aku, mungkin boleh dimaafkan. Sebab siapa yang tak pernah buat silap kan? Tapi kalau terkena dua atau tiga kali, mungkin perlu menjarakkan diri dari orang yang 'bermasalah' seperti ini. Takut terkena 'virus' yang sama..hehehe... Tapi aku takkan buat sesuatu yang dia pernah buat pada aku. Kenapa aku hendak menyamakan level aku dengan dia? Kalau aku buat perkara yang sama, aku dengan dia bukankah sama je..tak ada beza kan..?

So, just say bubbye la pada orang itu dan jauhkan diri. Tak rugi pun... untung lagi apa. Terhindar dari anasir-anasir buruk yang cuba dia bawa. Hahahahah...

Peace y'll... (^_^)v







Wednesday, May 21, 2014

260 - Biggest Loser FPP

Almost 2 months aku join program Biggest Loser anjuran KKR FPP. Saja-saja masuk sambil mendapat info exercise yang betul dari trainer. Group kitaorang terdiri dari Dr. Fauzi Ayub, Kak Dilah, Jaja & Ismi. And we all bertuah sebab dapat trainer atlet Malaysia, Seela. Atlet hurdle Malaysia. Waaaahhh... klas nok! Atlet lagi train kitaorang. Korang hado?!! Hihihihihi...

Isnin lepas selepas 6 minggu ada post test. Pre test time mula-mula start program nie. And the result, berat naik sekilo.. apakah??!! Hehehehe... tapi tak apa. Itu berat muscle. At least shape body dah nampak slim. Normal la tu...

Apa-apa pon nak kena maintain 5 bulan lagi sebab program 6 bulan. 6 minggu je bersama trainer & selebihnya sendiri. Itu yang berat je nak buat. Sebab bila ada trainer tu semangat tu lain. Hahaha.. harap-harap dapat teruskan sampai bulan ke 6.

Chaiyok...!!!






Monday, May 19, 2014

259 - Kejohanan Boling MAKSAK 2014

Jumaat lepas (16/5/2014) aku dengan Ain & Ajue dapat mewakili UPM dalam Kejohanan Boling MAKSAK 2014. Dah lama tak join game MAKSAK nie. Akhirnya tahun ini ada nampak kelibat kami di MAKSAK. Kali ini dibuat di Wangsa Bowl, Setia City Mall, Setia Alam. 

1st time main kt sini. Lane sintetik, pin cam ampeh...hahaha..langsung tak carry. Baling masuk poket, pastu kena split kaw-kaw habaq ang!! Strike plak unpredictable. Pin 7 & 10 pin antoo! Senang citer sapa main hook or backup memang pening la nak carik board mana. Jenuh adjust. Penat seh dibuatnya. 

Apa-apapun dpt top 10 pon okey. Current position after block 1 tu dpt no. 7 out of 24 team. Diberitahu hari tu perempuan main blok 1, pagi Jumaat tu. Tup-tup dpt tau ada 3 team lagi main blok 3 ptg lepas block 2 lelaki abis main. Hurmmm... diaorang penganjur kannnnnnnn.. suka hari diaorang la nak run event camtu kannnnnn.... -_-"

Seperti biasa, we all just happy dengan game kitaorang. Tak ada tuah untuk dapat hadiah sebab placing 1-3 jek yang dapat. Individu lak just johan. Tu diaaaaa... punya la bajet!!! Hehehehehe...






Monday, May 12, 2014

258 - Bila


Bila semuanya sudah tidak menjadi seperti dulu, bila semuanya sudah berubah...hanya mampu berharap yang ianya berakhir tanpa menyakitkan...

Friday, May 09, 2014

257 - Mata pena


Mata pena boleh menjadi lebih tajam dari mata pedang. Kata-kata yang dicoretkan kadang kala menghiris perasaan dengan begitu mendalam. Tanpa kita sedar ada hati yang terluka dek kata-kata yang dicoretkan oleh kita.

Berhati-hatilah teman.

256 - Tragedi pagi Jumaat

Bangun sudah terlewat pagi nie, 6.30 baru bangun untuk solat Subuh. Usai solat subuh pergi ke dapur untuk panaskan sekejap kuah kastard untuk puding roti yang ditempah Syamel untuk jamuan perpisahan En. Aris pagi nanti. Lepas tengok kuah dah panas sikit teros tutup api dan teros gi mandi.

Dah siap mandi & pakai baju teros operasi memotong puding roti dan masukkan dalam tupperware. Jam dah 7 setengah. Aiseh kelambatan la hari nie. Gara-gara kepenatan malam semalam masak puding roti nie. Dekat pukul 12 jugak masuk tidor.

Dah siap-siap teros angkut barang masuk dalam kereta. Kasut pon main sarung je tak sempat nak menengok. Sebab nak terus hantar pada Syamel kt Ekologi. Punya la kelam-kabut sampai tak sedar tersaruk sandal lain sebelah. Haiyohhhh...!! Dah sampai Ekologi baru perasan sebab rasa pelik pakai kasut longgar sebelah. Sekali tengok kat kaki... hahhhh... tu dia... lain sebelah...hahahahaha...

Sabor je la.. Nasib baik lah ada kasut spare dalam boot. Boleh la ganti yang lain.

So moral of the story, kot ye pon lambat... jangan hilang fokus kalu tak maluuuuu... sib baik sendiri yang perasan. Kalau orang lain yg perasan.. malu la sayerrrrrr..... hahahahahaha...


255 - Monolog hujan petang



Hujan setiap petang... menyejukkan suasana...

Semakin hari semakin perasaan ini kosong. Banyak yang bermain di fikiran... hal keluarga dan hal sendiri. Kesihatan mak yang adakalanya okay dan adalakanya tak okay. Setiap kali telefon berbunyi tanda mesej masuk, hati akan berdebar-debar. Takut sekiranya menerima berita buruk dari kampung. Sungguh itu yang aku rasa setiap kali. Seakan fobia setelah hal tentang arwah abah dulu.

Mak pon banyak kali bertanya tentang teman aku. Teman yang tidak berteman sampai sekarang. Macam mana nak buat. Entahlah kenapa berat sungguh jodohku. Mungkin Allah mahu aku berbakti kepada keluarga terlebih dahulu.

Setiap kali selepas solat, tidak pernah sekali pun aku tidak memohon kepada Allah agar meringankan jodohku dan mengurniakan aku dengan jodoh yang terbaik untuk diriku, agamaku dan juga masa depanku. Nampaknya masanya masih belum sampai untuk aku dikurniakan dgn jodoh yang tepat. Aku tetap bersangka baik dengan Allah. Pasti ada hikmahnya.

Memang ada yang mengintai tapi hati ini pula yang tidak ada perasaan itu pada dia. Serba salah pun ada bila tahu ada yang cuba-cuba nak dekat tapi dengan penuh berhemahnya aku menolak. Mungkin ada yang berkata aku ini memilih sangat. Ya, perlu selektif berkenaan jodoh. Tambah-tambah lagi dalam zaman sekarang ini, penceraian berlaku setiap 2 minit! Bayangkan!!

Aku nak berkahwin bukan untuk setahun dua, tapi untuk seumur hidup. Perlu mencari pasangan yang sanggup susah dan senang bersama, suka dan duka bersama, yang saling mendorong antara satu sama lain. Aku mencari bukan hanya untuk menjadi suami dan bapa kepada anak-anakku nanti, malah untuk menjadi kekasih, sahabat dan teman baik bagi diriku.

In shaa Allah... aku percaya pada takdir Allah. Semua sudah tertulis. Kita hanya perlu membuat pilihan samada ianya baik atau buruk pada kita.

Thursday, May 08, 2014

254 - RESPECT!



"Respect other people's feelings. Even if it doesn't mean anything to you, it could mean everything to them."

Perasaan hormat perlu ada dalam diri setiap orang. Sebab itu melambangkan keperibadian seseorang itu. Hormat itu juga tidak mengenal batas usia. Bukan yang muda sahaja yang perlukan hormatkan yang tua, sebaliknya yang tua juga turut perlu menunjukkan sikap itu terlebih dahulu sebagai teladan kepada yang muda.

Hormati perasaan orang lain sebagaimana kita mahu orang lain hormati perasaan kita. Mungkin ia tidak memberikan apa-apa makna kepada kita, tapi kepada orang lain ia merupakan sesuatu yang amat bermakna.

Juga kebaikan yang nampak kecil di mata kita, mungkin besar di mata mereka.

Sunday, May 04, 2014

253 - Diam lebih baik



"Sometimes not telling people anything is a good thing."

Ya! Sangat setuju dengan kata-kata di atas. Kadang-kadang kita hanya perlu diam dari menceceh bercerita tentang diri kita kepada orang. Sebab mungkin orang tak suka dengan apa yang kita katakan itu. Kita tak tahu hati orang. Rambut saja sama hitam tapi hati lain-lain. Tapi, sekarang perumpamaan tu dah tak boleh pakai kot sebab macam-macam warna 'tumpah' atas rambut tu...hehehehe..

Kita tidak tahu apa yang tersirat di dalam hati orang di sekeliling kita setiap kali kita bercerita terutama tentang diri sendiri. Kalau kita bercerita tentang sesuatu yang bagus terjadi kepada diri kita, mungkin ada yang berfikir “Eh dia nie macam good good saja..”. Kalau kita bercerita pasal masalah pula, mungkin juga ada yang cakap, “Dia nie nak mintak simpati je..” Susahkan.. kadang-kadang rasa macam paranoid pon ada.

PARANOID! Perkataan yang selalu timbul dalam kepala aku jika aku berfikir tentang sesuatu yang negatif yang mungkin terjadi pada diri aku. Klise kan? Kenapa nak sentiasa bersangka buruk sepatutnya kita mesti berfikiran positif. Barulah dapat hidup bahagia. Betul tak? Hah...susahnya idop!

Bagi aku, aku lebih suka berdiam diri dari BERCERITA KEPADA ORANG tentang perasaan aku. Mungkin juga aku ini lebih suka memendam perasaan hingga menjadi barah di dalam hati. Orang mungkin melihat aku yang suka ketawa dan tersenyum. Tiada masalah, happy sokmo. Cukuplah begitu sebab lebih senang tersenyum dari menjelaskan apa yang membuatkan kita bersedih. Betul tak? Hahahahaha…

Friday, April 18, 2014

252 - Cerpen : DEMI NAUFAL

          Demi Naufal


            Wajah anak kecil berumur lima tahun itu ditatap dengan penuh rasa kasih dan simpati yang melimpah ruah. Pak Muin leka melihat Naufal yang sedang bertenggek di tebing sungai sedang memancing dengan joran batang bemban yang dibuat semalam. Itupun kerana Naufal merengek-rengek meminta dibuatkan joran setelah melihat kawan-kawannya mempunyai joran untuk memancing di sungai.

            Pak Muin mengeluh berat. Badannya tidak segagah dahulu lagi. Dia sudah tidak mampu untuk membanting tulang bekerja. Dalam usia melewati tujuh puluh tahun, dia sudah tidak mampu untuk membuat kerja-kerja mengangkut batu-bata di tapak-tapak pembinaan, tidak mampu untuk ke kebun getah untuk mengambil upah menorah dan juga tidak mampu untuk membuat kerja-kerja kampung untuk menampung perbelanjaan dia dan Naufal.

            Hidupnya walau hanya berdua dengan Naufal tapi budak itu semakin membesar. Tahun hadapan sudah perlu mendaftarkan dia ke prasekolah. Banyak perlukan duit. Yuran sekolah perlu dibayar. Baju, beg dan kasut sekolah lagi perlu dibeli. Di mana dia harus mencari duit untuk semua itu? Semakin difikirkan semakin kusut fikirannya.

            “Atok, mana ikan tak makan umpan Naufal pun.” Naufal merungut sambil memandang wajah datuknya yang enak duduk bersandar di bawah pohon rendang tidak jauh dari tebing sungai itu.

            Pak Muin tersenyum melihat muncung Naufal yang tidak puas hati pancingnya yang masih tidak dipagut ikan walaupun sudah hampir sejam dia di situ. Perlahan-lahan dia bangun dan mengorak langkah terketar-ketar mendekati Naufal yang menongkat dagunya dengan tangan kiri sementara tangan kanannya memegang batang jorang dengan erat. Pak Muin mengambil tempat di sebelah Naufal lalu memeluk bahu kecil itu dan membawanya rapat di sisinya.

            “Naufal ada baca bismillah tak masa lempar pancing tadi?” Soal Pak Muin dengan lembut memujuk Naufal yang seakan merajuk.

            Naufal pantas menepuk dahinya. “Ala, Naufal lupalah atok!” Dia ketawa kecil melihat gelagat Naufal itu. Serentak dengan itu Naufal menarik pancingnya dari dalam sungai lalu melemparkannya semula ke dalam sungai dengan iringin bismillah. Pak Muin menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah Naufal itu.

            “Naufal, tahun depan Naufal sudah perlu ke sekolah. Naufal suka tak pergi sekolah?” Soal Pak Muin sambil mengusap kepala Naufal. Wajah Naufal direnung dengan pandangan berkaca. Ahh… mengapa hati ini terlalu sebak pula.

            “Suka Atok! Naufal nak masuk sekolah. Nanti boleh jumpa kawan-kawan.” Jawab Naufal bersemangat. Wajahnya ceria sekali setiap kali bercakap tentang sekolah. Keterujaannya terhadap sekolah memang tidak dapat disembunyikan.

            Pak Muin tersenyum lebar mendengar kata-kata Naufal. “Bagus Naufal. Atok pun suka kalau Naufal sudah masuk sekolah. Nanti Naufal belajar pandai-pandai ya. Bila besar nanti cari kerja yang bagus-bagus.”

“Ya Atok. Naufal nak jadi doktor nanti. Boleh ubatkan Atok. Nanti Atok sihat, tak sakit-sakit lagi.” Semakin bersemangat Naufal bercerita tentang cita-citanya. Pak Muin ketawa kecil lalu dia meraih Naufal dalam pelukannya. Air mata yang di tahan-tahan tadi terus merembes keluar.

Dia tahu dia sering sakit. Penyakit semputnya semakin teruk. Kadang-kala penyakit itu menyerangnya tidak kira masa. Ternyata daya tahan sakitnya sudah semakin lemah. Dia risau jika berlaku apa-apa kepadanya, bagaimana dengan Naufal.

Naufal satu-satunya ahli keluarga yang dia ada. Dialah pengarang jantung. Dia cucu kesayangan dan dialah yang menjadi harapannya di masa depan kelak. Tapi dia takut jika dia tidak berkesempatan untuk melihat Naufal membesar dan mencapai cita-citanya.

Pak Muin cepat-cepat menyapu air matanya sebelum melepaskan pelukan terhadap Naufal. “Naufal nak jadi doktor?” Pak Muin menyoal sambil tersenyum lagi.

“Betul Atok! Naufal nak jadi doktor. Boleh ubatkan Atok. Boleh tolong orang lain juga. Atokkan selalu cakap, kita kena selalu tolong orang baru Allah suka dan sayang pada kita.” Begitu bijak mulut si kecil itu berkata-kata. Pak Muin kagum dengan jawapan Naufal. Mungkin kerana hidupnya yang serba kekurangan membuatkan dia cepat matang dari usia sebenarnya.

“Baiknya cucu atok.” Ujar Pak Muin lalu mengucup kepala Naufal.

Naufal tinggal bersamanya kira-kira tiga tahun yang lalu selepas ibu dan bapanya meninggal dalam kemalangan jalanraya. Waktu itu dia memang sudah kematian isteri tinggal bersama anaknya Suhana dan menantunya Baharom. Naufal yang baru berusia dua tahun ketika kemalangan itu terjadi. Pemergian anak dan menantunya menghadap Ilahi meninggalkan Naufal yang kebetulan tidak bersama ibu dan bapanya sewaktu kemalangan itu terjadi.

Sejak dari itu dialah yang menjaga dan mengasuh Naufal. Jika dia perlu keluar bekerja, dia akan meninggalkan Naufal dalam jagaan Juriah, jiran sebelah rumahnya. Juriah tidak mengenakan sebarang upah untuk menjaga Naufal. Dia menjaga Naufal dengan ikhlas untuk membantu Pak Muin. Lagipun dia sudah menganggap Pak Muin seperti ayahnya sendiri.

Angin petang itu bertiup sungguh nyaman. Sesekali dedaun berguguran lalu jatuh ke dalam sungai dan dibawa mengalir ke hulu sungai. Suasana yang sungguh tenang itu sedikit dapat mententeramkan hati Pak Muin yang sejak kelmarin ditimpa gundah. Bagaimana caranya untuk aku memberitahu kepada Naufal tentang itu? Mahukah dia mendengar kata-kataku? Dapatkan Naufal menerimanya nanti? Pelbagai persoalan berputar-putar di benaknya.

Pak Muin menarik nafasnya dengan dalam lalu menghembusnya dengan berat sekali. Dia mencari kekuatan untuk menerangkan kepada Naufal yang masih mentah itu. Dia tidak mahu emosi dan pemikiran Naufal terjejas dengan apa yang bakal dia beritahu kelak.

“Naufal..” Panggilnya perlahan. Naufal berpaling memandang wajah datuknya yang semakin dimamah usia itu.

“Naufal tahukan yang atok sayangkan Naufal. Terlalu sayangkan Naufal sebenarnya.” Berhati-hati dia menyusun kata-kata untuk si kecil itu. Wajahnya dimaniskan seboleh mungkin sambil tangannya menggenggem erat tangan kiri Naufal.

“Naufal pun sayangkan atok.” Balas Naufal manja lalu tersengih. Hatinya semakin hiba mendengar kata-kata Naufal.

“Atok tahu Naufal pun sayangkan atok. Atok mahu Naufal dapat belajar dengan baik dan selesa. Cukup makan dan minum serta pakainya. Atok mahu Naufal masuk sekolah, belajar rajin-rajin dan jadi budak pandai. Nanti Naufal nak jadi doktorkan? Jadi kena belajar pandai-pandai. Jangan main-main di sekolah.”

“Baik atok. Naufal janji Naufal akan belajar rajin-rajin nanti di sekolah. Bila dah pandai boleh jadi doktor. Boleh Naufal ubatkan atok!” kali ketiga Naufal mengulangi kata-kata itu membuatkan hati Pak Muin semakin direnggut hiba. Bersungguh-sungguh cucunya berjanji untuk mengubatinya. Nampak sangat dia selalu sakit dan tidak mampu untuk menjaga cucunya lagi.

Pak Muin menahan rasa sedih yang semakin menggila di dalam hatinya. Ahhh… hatimu terlalu suci Naufal. Tidak sanggup rasanya untuk melukakan hatimu itu.

“Kenapa atok sedih? Atok tak sihat ye? Atok sakit lagi?” bertubi-tubi soalan keluarga dari mulut Naufal. Wajahnya berkerut menunjukkan kerisauannya melihat ada genangan air mata di kelopak mata datuknya.

Cepat-cepat Pak Muin menyapu air mata dengan belakang tangan kanannya. “Mana ada atok sedih. Atok sihatlah. Kan tadi Naufal dah beri atok makan ubat.” Senyuman dipaksa diukur di bibirnya buat Naufal.

“Atok kena makan ubat selalu. Nanti baru cepat baik. Kan doktor cakap hari tu. Kalau selalu tak makan, macam mana nak sihat.” Petah si kecil itu menasihati datuknya yang pada fikirannya selalu mengelat dari mengambil ubat yang dibekal oleh hospital di daerah itu.

“Iyalah Doktor Naufal, nanti atok makan ubat tu. Atok kadang-kadang lupalah…” ujarnya lalu ketawa kecil melihat riak wajah tidak puas hati yang ditunjukkan oleh Naufal kepadanya. Memang dia selalu buat-buat lupa untuk mengambil ubat-ubatannya kerana sudah putus asa. Walaupun ubat dimakan ikut aturan, semputnya tetap datang tidak kira masa.

Naufal yang seakan berpuas hati dengan jawapan datuknya kembali menumpukan perhatiannya kepada batang pancingnya. Sesekali dia menyanyi perlahan mengisi rasa bosan menunggu umpannya dimakan ikan.

Fikiran Pak Muin melayang-layang mengingatkan kembali perbualannya dengan suami Juriah, Kamal. Tika itu dia baharu saja keluar dari wad hospital setelah diserang semput teruk. Empat hari jugalah dia menjadi penghuni di wad hospital dan selama dia di sana, Naufal dijaga oleh Juriah.

“Kamal, aku rasa aku dah tak mampu nak jaga Naufal. Aku semakin tua dan penyakit aku ini semakin hari semakin teruk. Aku takut jika aku mati, Naufal tiada siapa yang nak menjaganya.” Ucapnya pada waktu Kamal datang melawatnya di wad.

“Kenapa Pak Muin cakap begitu? Tak baiklah Pak Muin. Lagipun saya dan Juriahkan ada boleh jagakan Naufal tu.” Kamal membalas lembut kata-kata pak Muin.

“Kamu pun bukanlah orang senang. Kerja makan gaji dengan Ah Leng bawak lori tu berapalah sangat. Anak-anak kamu pun ramai. Inikan mahu menanggung Naufal pula. Menyusahkan kamu saja.” Pak Muin pula membalas. Kamal hanya tersenyum. Lelaki tua yang terbaring di atas katil di hadapannya itu dipandang dengan penuh kasih. Pak Muin sudah dianggap seperti bapanya sendiri. Mereka sekampung. Setelah berkahwin dengan Juriah, dia tinggal berjiran dengan Pak Muin. Pak Muin juga banyak membantunya selama ini. Dia amat menghormati Pak Muin.

“Setakat Naufal seorang apalah sangat Pak Muin. Jangan risaulah, saya boleh tanggung Naufal. Pak Muin jangan risau.” Kamal cuba mententeramkan hati tua Pak Muin.

Pak Muin mengeluh dan menggeleng-gelengkan kepalanya. “Aku tak mahu menyusahkan kamu berdua Kamal. Cukuplah selama ini kamu tolong aku jagakan Naufal. Inikan pula nak tanggung makan dan pakainya. Sekolah lagi. Semua tu perlukan duit yang banyak Kamal. Aku tak mahu bebankan kamu.”

“Pak Muin...”

“Beginilah Kamal. Aku sudah buat keputusan. Seperti yang pernah aku beritahu kamu dulu, aku nekad kali ini. Aku buat semua ini untuk kebaikan Naufal. Aku mahu nasibnya terbela. Walau pun aku masih hidup, tapi lama mana lagi aku nak menongkat langit. Tiba masanya nanti, aku akan pergi juga. Cuma aku mahu pastikan nasib Naufal terbela dan terjamin. Aku ini dah tak lama hidup Kamal.” Lirih sekali Pak Muin berkata-kata. Sebak di dadanya tidak mampu ditahan lagi. Dia membiarkan air matanya mengalir perlahan membasahi pipi tuanya yang sudah berkedut itu.

Kamal hanya mampu tertunduk memandang lantai. Tidak sanggup menatap wajah Pak Muin yang sangat sedih itu. Hatinya turut sebak tatkala mendengar kata-kata Pak Muin itu. Dia turut mengakui kebenaran kata-kata Pak Muin. Sudah pasti dia mahukan yang terbaik untuk satu-satunya cucunya yang ada. Sedangkan dia sendiri belum tentu boleh memberi jaminan akan menjaga Naufal dengan baik. Pendapatan dia sendiri pun ada pasang surutnya. Dengan upah dia perolehi ketika ini pun hanya cukup-cukup makan sahaja.

“Baiklah kalau itu yang Pak Muin mahukan. Saya ikutkan sahaja dan tak akan menghalang. Saya faham Pak Muin mahukan Naufal dijaga dengan elok.” Kamal beralah dengan permintaan Pak Muin.

“Kamu jangan ingat aku tak percayakan kamu pula Kamal.” Terbit rasa bersalah di dalam hati Pak Muin bila dia mempertahankan keputusannya itu.

“Eh, tak adalah Pak Muin. Saya hormati keputusan Pak Muin itu. Saya faham. Juriah pun faham. Pak Muin jangan fikir yang bukan-bukan.” cepat-cepat dia meningkah kata-kata Pak Muin. Dia tidak mahu hati tua itu terguris. Kalau Pak Muin sudah nekad, dia tidak mahu menghalangnya.

“Baguslah kalau begitu. Nanti kalau kamu berkelapangan tolonglah tengok-tengokkan Naufal ya. Sudah tiada siapa lagi yang boleh aku harapkan kecuali kamu dan Juriah. Harap-harap permintaan aku ini tidak membebankan kamu suami isteri. Selama ini pun banyak yang aku sudah susahkan kamu tentang Naufal.”

“Pak Muin jangan risau. In shaa Allah, saya akan tengokkan Naufal dan bantu apa yang termampu. Saya sayangkan Naufal macam anak sendiri. Pak Muin tahukan saya ni tak ada anak lelaki. Empat-empat orang anak saya perempuan.” Ujar Kamal tersengih. Pak Muin menyambut kata-kata Kamal dengan ketawa besar.

“Beranaklah lagi..” usik Pak Muin. “Belum ada rezeki..” balas Kamal tersipu-sipu.

“Atok, hari ini memang tak ada ikanlah. Tak mengenapun pancing Naufal..” Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila kedengaran suara Naufal yang sudah berputus asa menanti jorannya dimakan ikan. Dia mengocak kakinya di dalam air hingga memercikkan air.

“Agaknyalah. Sudahlah Naufal, mari kita balik. Hari dah semakin petang. Nanti sampai rumah atok gorengkan pisang untuk Naufal ya. Kita makan pisang goreng petang ni, suka tak?” Naufal yang merajuk dipujuk oleh Pak Muin.

“Naufal suka atok! Goreng lebih sikit ya atok. Nanti boleh beri pada Mak Ju sikit. Mak Ju pun suka makan pisang goreng.” Naufal kembali bersemangat. Matanya bersinar-sinar.

“Tak lupa Mak Ju kesayangan dia. Iyalah, nanti atok gorengkan lebih sikit.” tersenyum Naufal bila mendengar kata-kata itu lalu bangun dan memimpin tangan datuknya dan berjalan beriringan menuju ke rumah mereka yang usang.

Dari kejauhan dia terlihat sebuah van berwarna kekuningan diparkir di lama rumahnya. Siapa pula yang datang petang-petang begini? Hatinya dipagut tanda tanya. Hayunan langkahnya dipercepatkan kerana tidak mahu tetamu yang masih tidak diketahuinya itu menunggu lama.

Semakin lama semakin dekat dia dan Naufal ke rumahnya. Dia mengamati perkataan yang berada di dinding van berwarna kekuningan itu. Tertulis perkataan Rumah Anak-anak Yatim Darussalam. Tiba-tiba langkah kakinya menjadi lemah. Dadanya sebak tiba-tiba. Hayunannya terhenti seketika sehingga menimbulkan kehairanan kepada Naufal di sisinya.

“Kenapa atok? Van siapa yang ada di rumah kita tu atok? Diaorang nak jumpa atok ke?” Naufal yang tidak tahu apa-apa menyoal dan menantikan jawapan dari datuknya. Pak Muin pula bagaikan terpaku berdiri tegak memandang ke laman rumahnya.

Sudah sampai masa rupanya. Mereka sudah datang. Tak sangka secepat ini atau mungkin aku yang masih tidak sanggup untuk berbuat demikian? Ya Allah, Kau kuatkanlah hatiku untuk menghadapi perpisahan ini. Aku lakukan semua ini demi Naufal Ya Allah. Aku mahukan yang terbaik untuk cucuku. Rahmatilah cucuku Ya Allah.

Sambil lafaz bismillah dia mengeratkan genggaman tangannya pada Naufal lalu tunduk memandang ke arah Naufal. “Mari Naufal, atok nak kenalkan Naufal pada seseorang.” Dia cuba mengukirkan senyuman namun terlalu hambar senyuman itu.

Tanpa banyak karenah Naufal menganggukkan kepala dan mengikut langkah Pak Muin menuju ke rumah mereka. Dari jauh kelihatan dua orang wanita dan seorang lelaki dewasa sedang tersenyum menanti mereka di pangkin bawah pohon rambutan yang rendang  di laman rumah.

‘Maafkan atok Naufal. Atok lakukan semua ini kerana atok sayangkan Naufal..’  

------------------------------------------------------------------

© 2014 Suria Shafie, Rumah Tangga Pusing.

251 - Aku hamba-Mu yang lemah



Assalamualaikum...

Pagi Jumaat yang menenangkan. Hujan turun sejak subuh hingga sekarang masih tak berhenti. Tak lebat tapi kadang-kadang renyai. Berterusan. Sejuk bumi Tuhan pagi ini. Alhamdulillah.

Namun hati aku masih tidak tenang. Banyak perkara yang aku fikirkan. Dan yang pasti aku masih menahan sesuatu yang sepatutnya aku lepaskan. Aku takut hendak lepaskannya. Entah mengapa aku berperasaan begini? Sedangkan sudah nekad di dalam hati untuk melepaskannya tapi akhirnya aku kalah dengan perasaan sendiri. Aku sayang nak lepaskan ia. Terlalu sayang hingga membodohkan diri sendiri.

Aku sedih dengan sikap aku begini. Tak tetap pendirian. Sampai bila aku mahu begini? Aku sendiri tiada jawapan. Pokok pangkalnya hati sendiri kan?

Memang senang untuk menasihati orang lain, tapi bila terkena pada batang hidung sendiri...baru tahu bagaimana perasaan itu.

Ya Rabb.. berikan aku kekuatan dan sambutlah doa-doaku selama ini yang tidak pernah jemu aku titipkan setiap kali selepas solat. Makbulkan pemintaanku Ya Allah... kasihani hamba-Mu ini. Berikan setitis harapan dan sejalur cahaya untuk aku membina kembali keyakinan diri ini yang semakin menghilang. Aku amat lemah tika ini. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, bantulah aku...


Thursday, April 10, 2014

250 - CERPEN : SAYA KERJA DRIVER SAJA


Saya Kerja Driver Saja
Suria Shafie


Haryani menatap wajah ibu dan ayahnya dengan penuh kerisauan. Ada ketegangan di wajah ibunya namun ayahnya pula beriak selamba. Nazrul yang duduk di sofa di hadapan mereka kelihatan tenang dan tidak mengalihkan pandangan dari wajah ibu dan ayah Haryani.

Haryani sudah panas punggung menanti kata putus dari mereka. Debaran di dada tidak terkira. Bagai hendak terkeluar jantungnya tika ini. Jika dapat diukur degupan jantungnya ketika ini, kalah pelari 100 meter degupannya.

“Betul kamu kerja driver saja?” Sambil berkerut dahi Pn. Hasnah menyoal kepada Nazrul.

“Ya makcik. Saya kerja driver!” Begitu yakin sekali Nazrul mengiakan pertanyaan dari Puan Hasnah.

“Abang..” bisikan dari Puan Hasnah kepada suaminya Encik Zainal begitu jelas di telinga Haryani dan Nazrul. Nazrul memandang Haryani yang duduk tidak jauh darinya. Haryani membalas pandangan itu lalu mengorak senyuman hambar.

“Ehem...”

Sempat Encik Zainal berdehem sebelum menarik nafas lalu menghembus berat.

“Betul kamu kerja driver?” Soalan yang sama diajukan kepada pemuda di hadapannya itu.

Kali ini Nazrul tersenyum dan menganggukkan kepalanya berkali-kali. “Ya, pakcik. Saya kerja driver.”

Encik Zainal pula menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Jadi, kamu datang ke sini untuk beritahu kepada kami yang kamu ingin berkahwin dengan Haryani?”

“Ya, pakcik. Saya ingin mengambil Haryani sebagai isteri saya yang sah!”

Bagaikan skrip drama pula Nazrul melafazkan kata-kata itu. Begitu yakin dengan tujuan kedatangannya pada petang itu berjumpa dengan kedua ibu dan bapa Haryani.

Suasana kembali sunyi. Puan Hasnah mempamerkan riak muka tidak menyenangkan. Encik Zainal masih tenang dan memandang kepada Haryani.

“Yani, macam mana?”

Tersentak Haryani dengan soalan dari ayahnya itu. Dia meramas-ramas jari-jemarinya dengan kuat. Gelisah. Berdebar-debar.

Nazrul dikenalinya enam bulan yang lalu secara kebetulan ketika dia mengalami kemalangan kecil di lampu isyarat di Jalan Ipoh. Dia terlanggar belakang kereta seorang wanita lain yang memberhentikan keretanya secara tiba-tiba. Kebetulan Nazrul yang memandu di belakangnya membantu menyelesaikan masalah itu.

Dari perkenalan itu terjalin persahabatan dan akhirnya mengikat hati kedua-duanya. Walaupun hanya saling mengenali dalam sesingkat itu, Nazrul mengambil keputusan untuk menyunting Haryani menjadi suri hatinya. Keputusan itu disambut Haryani dengan hati terbuka. Baginya perhubungan itu menjadi lebih indah sekiranya diikat dengan ijab dn kabul. Lebih barkah.

“Yani... Yani...” Haryani kehilangan kata-kata. Ingin dia mengaku bersetuju tapi setelah melihat reaksi ibu dan ayahnya, dia mula gusar sekiranya niat mereka tidak dipersetujui oleh ibu dan ayahnya.

Haryani memang mengetahui Nazrul bekerja sebagai pemandu. Dia tidak kisah dengan pekerjaan lelaki itu kerana dia jujur dan ikhlas terhadap Haryani. Lagipun Nazrul amat menghormatinya sebagai seorang wanita. Mereka tidak bercinta seperti pasangan uda dan dara yang lain. Sebaliknya dari pandangan dan bahasa tubuh sudah cukup untuk menyatakannya.

Nazrul memandang Haryani dengan tenang.

‘Ahhh... kenapa kau begitu tenang begini?’ Detik hati Haryani melihat wajah Nazrul.

“Yani?” Puan Hasnah pula memanggilnya sambil mengangkat kening.

Dengan membisikkan bismillah di dalam hati, Haryani tekad.

“Yani terima Nazrul ibu...” Ucapnya sambil menundukkan wajahnya dan memandang ke jari-jemarinya yang dikepal-kepal. Sejuk seluruh jari-jemarinya tika ini.

“Hah?? Kamu sungguh-sungguh Yani?” Bagaikan tidak percaya Puan Hasnah mendengar kata-kata anak tunggalnya.

“Dia kerja driver!” Puan Hasnah menekankan perkataan driver tu.

“Hasnah...!” Encik Zainal menegah dengan lembut perlakuan isterinya itu.

“Ya ibu.. Yani terima dia seadanya. Yani percaya dia dapat menjaga dan membahagiakan Yani.” Kali ini Haryani semakin yakin dengan kata hatinya. Menerima Nazrul sebagai imamnya jika itu ditakdirkan oleh Allah.

Terdengar keluhan berat keluar dari mulut ibunya. Dia tahu ibunya kecewa dengan keputusannya. Setiap ibu menginginkan anaknya berkahwin dengan seseorang yang berkerjaya bagus-bagus sebagai jaminan masa hadapan anak gadisnya.

“Abang...” Rengek Puan Hasnah kembali memandang wajah suaminya di sebelah kirinya.

Encik Zainal menganggukkan kepalanya sambil menepuk-nepuk tangan isterinya yang kegelisahan di sebelahnya.

“Pakcik... makcik... saya tahu mungkin saya bukan lelaki pilihan pakcik dan makcik untuk menjadi suami kepada Haryani. Tapi saya ikhlas kepada Haryani dan saya sukakan Haryani. Izinkan saya untuk mengambil Haryani sebagai isteri saya yang sah. Saya berjanji akan menjaga dan mendidik Haryani untuk menjadi seorang isteri yang solehah selagi hayat saya dikandung badan dan tak akan mensia-siakan dia.” Sekali lagi Nazrul berkata dengan yakin. Kali ini wajahnya menggambarkan kesungguhan hatinya terhadap Haryani.

“Beginilah Nazrul... betul kamu akan berpegang pada janji-janji kamu ini?” Encik Zainal menyoal.

“Betul pakcik!” pantas jawapan dari Nazrul.

“Baiklah. Memandangkan kamu berdua sudah suka sama suka. Pakcik dan makcik tiada halangan. Nanti minta keluarga kamu datang untuk merisik bulan depan. Berkawan lama-lama pun tidak manis. Biarlah kita ikatkan kamu berdua dengan ikatan yang sah.”

Terlopong Puan Hasnah mendengar kata-kata suaminya itu. Dia seakan tidak percaya begitu mudah sekali suaminya menerima lamaran dari lelaki muda di hadapan mereka ini. Lelaki yang hanya bekerja sebagai pemandu hendak digandingkan dengan anak gadisnya yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat multinasional di ibukota.

“Apa abang buat nie?” sedikit membentak dia menyoal suaminya.

Encik Zainal tidak membalas sebaliknya hanya tersenyum kepada isterinya yang berwajah masam.

Nazrul dan Haryani menarik nafas lega setelah mendengar kata-kata Encik Zainal. Walaupun masih terselit kegusaran apabila melihat reaksi ibu Haryani, sekurang-kurangnya ayah Haryani sudah memberi keizinan. Selebihnya hanya perlu memujuk dan meyakinkan ibu Haryani sahaja.

“Mereka sudah suka sama suka. Biarlah... Kita perlu beri restu sahaja pada mereka. Awak nak halang kenapa?”

“Dia kerja driver!!”

“Driver pun pekerjaan juga. Ada kerja untuk tanggung anak kita. Bukannya tak bekerja! Janji pekerjaan itu halal!” Kata-kata En Zainal yang sedikit meninggi membuatkan Puan Hasnah sedikit tersentak. Dia memahami maksud itu yang mana suaminya sudah membuat keputusan dan tidak boleh dibantah lagi. Dua puluh lapan tahun berkahwin dengan lelaki itu cukup untuk dia memahami perangai suaminya itu.

Puan Hasnah terdiam dan hatinya sedikit terkilan dengan keputusan suaminya yang mengikuti kehendak anak gadisnya untuk menerima lamaran pemuda yang hanya bekerja sebagai driver. Sedih hatinya untuk menerima kenyataan yang menantunya hanya seorang driver!

“Terima kasih pakcik...makcik. Saya akan hubungi keluarga saya untuk memberitahu berita gembira ini. Saya minta diri dululah kalau begitu.” Begitu ceria sekali Nazrul sambil memandang wajah Haryani. Senyuman manis dihulurkan buat Haryani yang turut sama membalas senyuman itu. Dia tidak menyangka ayahnya akan memberi kebenaran dan restu.

“Iyalah. Jangan lupa minta keluarga kamu hubungi kami untuk bincang tarikh dan masa yang sesuai untuk keluarga kamu datang berbincang.” Sekali lagi Encik Zainal mengingatkan Nazrul. Nazrul menganggukkan kepalanya dengan bersemangat lalu bingkas bangun dan menghulurkan tangan kepada Encik Zainal.

“Oh, ya... kamu selalu drive hantar barang ke mana?” soal Encil Zainal sambil menyambut huluran tangan Nazrul.

“Err... selalunya ke luar negara.” Balas Nazrul teragak-agak.

“Luar negara?” soal Encik Zainal tidak percaya.

“Iya pakcik.”

“Ke mana? Thailand? Singapura?”

“Tak juga. Kadang-kadang US, Australia dan lain-lain tempat.” Jawab Nazrul jujur.

US? Australia? Kamu driver apa sebenarnya?’ Kali ini Puan Hasnah pula menyoal dengan kerutan di dahi. Biar betul bawa lori sampai ke Amerika dan Australia?

“Oh, saya driver kapalterbang makcik. Pilot!” jawab Nazrul penuh makna. Dia tersenyum-senyum sambil mengenyitkan mata kepada Haryani yang turut terlopong mendengar kata-kata Nazrul itu.

Memang selama dia berkawan dengan lelaki itu tidak pernah sekali pun dia bertanya tentang pekerjaan sebenar lelaki itu. Nazrul hanya memberitahunya dia bekerja sebagaidriver dan dia tidak pula menyoal lebih lanjut tentang pekerjaan lelaki itu.

“Allahuakhbar....!!” tidak semena-mena lengan Nazrul ditepuk oleh Puan Hasnah lalu ketawa besar. Encik Zainal juag turut ketawa melihat gelagat isterinya. Terkena mereka sekeluarga. Nazrul dan Haryani turut ketawa melihat gelagat Puan Hasnah itu.

“Terkena kita ye...” Ucap Encik Zainal dengan senyuman penuh makna. Dia tahu kini siapa lelaki yang bernama Nazrul ini dan dia tidak ralat lagi untuk memberi restu kepada lelaki ini untuk memperisterikan anak gadisnya.

“Menantu kita pilot bang!!” Puan Hasnah teruja setelah mendengar pekerjaan sebenar Nazrul.

“Bakal menantu...” Encik Zainal tersenyum membetulkan kata-kata isterinya yang begitu gembira.

“Iyalah... bakal menantu...” ucap Puan Hasnah sambil menjeling tersipu-sipu pada suaminya yang sudah ketawa besar.


© 2014 Suria Shafie, Astaka Seni.