Friday, April 18, 2014

252 - Cerpen : DEMI NAUFAL

          Demi Naufal


            Wajah anak kecil berumur lima tahun itu ditatap dengan penuh rasa kasih dan simpati yang melimpah ruah. Pak Muin leka melihat Naufal yang sedang bertenggek di tebing sungai sedang memancing dengan joran batang bemban yang dibuat semalam. Itupun kerana Naufal merengek-rengek meminta dibuatkan joran setelah melihat kawan-kawannya mempunyai joran untuk memancing di sungai.

            Pak Muin mengeluh berat. Badannya tidak segagah dahulu lagi. Dia sudah tidak mampu untuk membanting tulang bekerja. Dalam usia melewati tujuh puluh tahun, dia sudah tidak mampu untuk membuat kerja-kerja mengangkut batu-bata di tapak-tapak pembinaan, tidak mampu untuk ke kebun getah untuk mengambil upah menorah dan juga tidak mampu untuk membuat kerja-kerja kampung untuk menampung perbelanjaan dia dan Naufal.

            Hidupnya walau hanya berdua dengan Naufal tapi budak itu semakin membesar. Tahun hadapan sudah perlu mendaftarkan dia ke prasekolah. Banyak perlukan duit. Yuran sekolah perlu dibayar. Baju, beg dan kasut sekolah lagi perlu dibeli. Di mana dia harus mencari duit untuk semua itu? Semakin difikirkan semakin kusut fikirannya.

            “Atok, mana ikan tak makan umpan Naufal pun.” Naufal merungut sambil memandang wajah datuknya yang enak duduk bersandar di bawah pohon rendang tidak jauh dari tebing sungai itu.

            Pak Muin tersenyum melihat muncung Naufal yang tidak puas hati pancingnya yang masih tidak dipagut ikan walaupun sudah hampir sejam dia di situ. Perlahan-lahan dia bangun dan mengorak langkah terketar-ketar mendekati Naufal yang menongkat dagunya dengan tangan kiri sementara tangan kanannya memegang batang jorang dengan erat. Pak Muin mengambil tempat di sebelah Naufal lalu memeluk bahu kecil itu dan membawanya rapat di sisinya.

            “Naufal ada baca bismillah tak masa lempar pancing tadi?” Soal Pak Muin dengan lembut memujuk Naufal yang seakan merajuk.

            Naufal pantas menepuk dahinya. “Ala, Naufal lupalah atok!” Dia ketawa kecil melihat gelagat Naufal itu. Serentak dengan itu Naufal menarik pancingnya dari dalam sungai lalu melemparkannya semula ke dalam sungai dengan iringin bismillah. Pak Muin menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah Naufal itu.

            “Naufal, tahun depan Naufal sudah perlu ke sekolah. Naufal suka tak pergi sekolah?” Soal Pak Muin sambil mengusap kepala Naufal. Wajah Naufal direnung dengan pandangan berkaca. Ahh… mengapa hati ini terlalu sebak pula.

            “Suka Atok! Naufal nak masuk sekolah. Nanti boleh jumpa kawan-kawan.” Jawab Naufal bersemangat. Wajahnya ceria sekali setiap kali bercakap tentang sekolah. Keterujaannya terhadap sekolah memang tidak dapat disembunyikan.

            Pak Muin tersenyum lebar mendengar kata-kata Naufal. “Bagus Naufal. Atok pun suka kalau Naufal sudah masuk sekolah. Nanti Naufal belajar pandai-pandai ya. Bila besar nanti cari kerja yang bagus-bagus.”

“Ya Atok. Naufal nak jadi doktor nanti. Boleh ubatkan Atok. Nanti Atok sihat, tak sakit-sakit lagi.” Semakin bersemangat Naufal bercerita tentang cita-citanya. Pak Muin ketawa kecil lalu dia meraih Naufal dalam pelukannya. Air mata yang di tahan-tahan tadi terus merembes keluar.

Dia tahu dia sering sakit. Penyakit semputnya semakin teruk. Kadang-kala penyakit itu menyerangnya tidak kira masa. Ternyata daya tahan sakitnya sudah semakin lemah. Dia risau jika berlaku apa-apa kepadanya, bagaimana dengan Naufal.

Naufal satu-satunya ahli keluarga yang dia ada. Dialah pengarang jantung. Dia cucu kesayangan dan dialah yang menjadi harapannya di masa depan kelak. Tapi dia takut jika dia tidak berkesempatan untuk melihat Naufal membesar dan mencapai cita-citanya.

Pak Muin cepat-cepat menyapu air matanya sebelum melepaskan pelukan terhadap Naufal. “Naufal nak jadi doktor?” Pak Muin menyoal sambil tersenyum lagi.

“Betul Atok! Naufal nak jadi doktor. Boleh ubatkan Atok. Boleh tolong orang lain juga. Atokkan selalu cakap, kita kena selalu tolong orang baru Allah suka dan sayang pada kita.” Begitu bijak mulut si kecil itu berkata-kata. Pak Muin kagum dengan jawapan Naufal. Mungkin kerana hidupnya yang serba kekurangan membuatkan dia cepat matang dari usia sebenarnya.

“Baiknya cucu atok.” Ujar Pak Muin lalu mengucup kepala Naufal.

Naufal tinggal bersamanya kira-kira tiga tahun yang lalu selepas ibu dan bapanya meninggal dalam kemalangan jalanraya. Waktu itu dia memang sudah kematian isteri tinggal bersama anaknya Suhana dan menantunya Baharom. Naufal yang baru berusia dua tahun ketika kemalangan itu terjadi. Pemergian anak dan menantunya menghadap Ilahi meninggalkan Naufal yang kebetulan tidak bersama ibu dan bapanya sewaktu kemalangan itu terjadi.

Sejak dari itu dialah yang menjaga dan mengasuh Naufal. Jika dia perlu keluar bekerja, dia akan meninggalkan Naufal dalam jagaan Juriah, jiran sebelah rumahnya. Juriah tidak mengenakan sebarang upah untuk menjaga Naufal. Dia menjaga Naufal dengan ikhlas untuk membantu Pak Muin. Lagipun dia sudah menganggap Pak Muin seperti ayahnya sendiri.

Angin petang itu bertiup sungguh nyaman. Sesekali dedaun berguguran lalu jatuh ke dalam sungai dan dibawa mengalir ke hulu sungai. Suasana yang sungguh tenang itu sedikit dapat mententeramkan hati Pak Muin yang sejak kelmarin ditimpa gundah. Bagaimana caranya untuk aku memberitahu kepada Naufal tentang itu? Mahukah dia mendengar kata-kataku? Dapatkan Naufal menerimanya nanti? Pelbagai persoalan berputar-putar di benaknya.

Pak Muin menarik nafasnya dengan dalam lalu menghembusnya dengan berat sekali. Dia mencari kekuatan untuk menerangkan kepada Naufal yang masih mentah itu. Dia tidak mahu emosi dan pemikiran Naufal terjejas dengan apa yang bakal dia beritahu kelak.

“Naufal..” Panggilnya perlahan. Naufal berpaling memandang wajah datuknya yang semakin dimamah usia itu.

“Naufal tahukan yang atok sayangkan Naufal. Terlalu sayangkan Naufal sebenarnya.” Berhati-hati dia menyusun kata-kata untuk si kecil itu. Wajahnya dimaniskan seboleh mungkin sambil tangannya menggenggem erat tangan kiri Naufal.

“Naufal pun sayangkan atok.” Balas Naufal manja lalu tersengih. Hatinya semakin hiba mendengar kata-kata Naufal.

“Atok tahu Naufal pun sayangkan atok. Atok mahu Naufal dapat belajar dengan baik dan selesa. Cukup makan dan minum serta pakainya. Atok mahu Naufal masuk sekolah, belajar rajin-rajin dan jadi budak pandai. Nanti Naufal nak jadi doktorkan? Jadi kena belajar pandai-pandai. Jangan main-main di sekolah.”

“Baik atok. Naufal janji Naufal akan belajar rajin-rajin nanti di sekolah. Bila dah pandai boleh jadi doktor. Boleh Naufal ubatkan atok!” kali ketiga Naufal mengulangi kata-kata itu membuatkan hati Pak Muin semakin direnggut hiba. Bersungguh-sungguh cucunya berjanji untuk mengubatinya. Nampak sangat dia selalu sakit dan tidak mampu untuk menjaga cucunya lagi.

Pak Muin menahan rasa sedih yang semakin menggila di dalam hatinya. Ahhh… hatimu terlalu suci Naufal. Tidak sanggup rasanya untuk melukakan hatimu itu.

“Kenapa atok sedih? Atok tak sihat ye? Atok sakit lagi?” bertubi-tubi soalan keluarga dari mulut Naufal. Wajahnya berkerut menunjukkan kerisauannya melihat ada genangan air mata di kelopak mata datuknya.

Cepat-cepat Pak Muin menyapu air mata dengan belakang tangan kanannya. “Mana ada atok sedih. Atok sihatlah. Kan tadi Naufal dah beri atok makan ubat.” Senyuman dipaksa diukur di bibirnya buat Naufal.

“Atok kena makan ubat selalu. Nanti baru cepat baik. Kan doktor cakap hari tu. Kalau selalu tak makan, macam mana nak sihat.” Petah si kecil itu menasihati datuknya yang pada fikirannya selalu mengelat dari mengambil ubat yang dibekal oleh hospital di daerah itu.

“Iyalah Doktor Naufal, nanti atok makan ubat tu. Atok kadang-kadang lupalah…” ujarnya lalu ketawa kecil melihat riak wajah tidak puas hati yang ditunjukkan oleh Naufal kepadanya. Memang dia selalu buat-buat lupa untuk mengambil ubat-ubatannya kerana sudah putus asa. Walaupun ubat dimakan ikut aturan, semputnya tetap datang tidak kira masa.

Naufal yang seakan berpuas hati dengan jawapan datuknya kembali menumpukan perhatiannya kepada batang pancingnya. Sesekali dia menyanyi perlahan mengisi rasa bosan menunggu umpannya dimakan ikan.

Fikiran Pak Muin melayang-layang mengingatkan kembali perbualannya dengan suami Juriah, Kamal. Tika itu dia baharu saja keluar dari wad hospital setelah diserang semput teruk. Empat hari jugalah dia menjadi penghuni di wad hospital dan selama dia di sana, Naufal dijaga oleh Juriah.

“Kamal, aku rasa aku dah tak mampu nak jaga Naufal. Aku semakin tua dan penyakit aku ini semakin hari semakin teruk. Aku takut jika aku mati, Naufal tiada siapa yang nak menjaganya.” Ucapnya pada waktu Kamal datang melawatnya di wad.

“Kenapa Pak Muin cakap begitu? Tak baiklah Pak Muin. Lagipun saya dan Juriahkan ada boleh jagakan Naufal tu.” Kamal membalas lembut kata-kata pak Muin.

“Kamu pun bukanlah orang senang. Kerja makan gaji dengan Ah Leng bawak lori tu berapalah sangat. Anak-anak kamu pun ramai. Inikan mahu menanggung Naufal pula. Menyusahkan kamu saja.” Pak Muin pula membalas. Kamal hanya tersenyum. Lelaki tua yang terbaring di atas katil di hadapannya itu dipandang dengan penuh kasih. Pak Muin sudah dianggap seperti bapanya sendiri. Mereka sekampung. Setelah berkahwin dengan Juriah, dia tinggal berjiran dengan Pak Muin. Pak Muin juga banyak membantunya selama ini. Dia amat menghormati Pak Muin.

“Setakat Naufal seorang apalah sangat Pak Muin. Jangan risaulah, saya boleh tanggung Naufal. Pak Muin jangan risau.” Kamal cuba mententeramkan hati tua Pak Muin.

Pak Muin mengeluh dan menggeleng-gelengkan kepalanya. “Aku tak mahu menyusahkan kamu berdua Kamal. Cukuplah selama ini kamu tolong aku jagakan Naufal. Inikan pula nak tanggung makan dan pakainya. Sekolah lagi. Semua tu perlukan duit yang banyak Kamal. Aku tak mahu bebankan kamu.”

“Pak Muin...”

“Beginilah Kamal. Aku sudah buat keputusan. Seperti yang pernah aku beritahu kamu dulu, aku nekad kali ini. Aku buat semua ini untuk kebaikan Naufal. Aku mahu nasibnya terbela. Walau pun aku masih hidup, tapi lama mana lagi aku nak menongkat langit. Tiba masanya nanti, aku akan pergi juga. Cuma aku mahu pastikan nasib Naufal terbela dan terjamin. Aku ini dah tak lama hidup Kamal.” Lirih sekali Pak Muin berkata-kata. Sebak di dadanya tidak mampu ditahan lagi. Dia membiarkan air matanya mengalir perlahan membasahi pipi tuanya yang sudah berkedut itu.

Kamal hanya mampu tertunduk memandang lantai. Tidak sanggup menatap wajah Pak Muin yang sangat sedih itu. Hatinya turut sebak tatkala mendengar kata-kata Pak Muin itu. Dia turut mengakui kebenaran kata-kata Pak Muin. Sudah pasti dia mahukan yang terbaik untuk satu-satunya cucunya yang ada. Sedangkan dia sendiri belum tentu boleh memberi jaminan akan menjaga Naufal dengan baik. Pendapatan dia sendiri pun ada pasang surutnya. Dengan upah dia perolehi ketika ini pun hanya cukup-cukup makan sahaja.

“Baiklah kalau itu yang Pak Muin mahukan. Saya ikutkan sahaja dan tak akan menghalang. Saya faham Pak Muin mahukan Naufal dijaga dengan elok.” Kamal beralah dengan permintaan Pak Muin.

“Kamu jangan ingat aku tak percayakan kamu pula Kamal.” Terbit rasa bersalah di dalam hati Pak Muin bila dia mempertahankan keputusannya itu.

“Eh, tak adalah Pak Muin. Saya hormati keputusan Pak Muin itu. Saya faham. Juriah pun faham. Pak Muin jangan fikir yang bukan-bukan.” cepat-cepat dia meningkah kata-kata Pak Muin. Dia tidak mahu hati tua itu terguris. Kalau Pak Muin sudah nekad, dia tidak mahu menghalangnya.

“Baguslah kalau begitu. Nanti kalau kamu berkelapangan tolonglah tengok-tengokkan Naufal ya. Sudah tiada siapa lagi yang boleh aku harapkan kecuali kamu dan Juriah. Harap-harap permintaan aku ini tidak membebankan kamu suami isteri. Selama ini pun banyak yang aku sudah susahkan kamu tentang Naufal.”

“Pak Muin jangan risau. In shaa Allah, saya akan tengokkan Naufal dan bantu apa yang termampu. Saya sayangkan Naufal macam anak sendiri. Pak Muin tahukan saya ni tak ada anak lelaki. Empat-empat orang anak saya perempuan.” Ujar Kamal tersengih. Pak Muin menyambut kata-kata Kamal dengan ketawa besar.

“Beranaklah lagi..” usik Pak Muin. “Belum ada rezeki..” balas Kamal tersipu-sipu.

“Atok, hari ini memang tak ada ikanlah. Tak mengenapun pancing Naufal..” Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila kedengaran suara Naufal yang sudah berputus asa menanti jorannya dimakan ikan. Dia mengocak kakinya di dalam air hingga memercikkan air.

“Agaknyalah. Sudahlah Naufal, mari kita balik. Hari dah semakin petang. Nanti sampai rumah atok gorengkan pisang untuk Naufal ya. Kita makan pisang goreng petang ni, suka tak?” Naufal yang merajuk dipujuk oleh Pak Muin.

“Naufal suka atok! Goreng lebih sikit ya atok. Nanti boleh beri pada Mak Ju sikit. Mak Ju pun suka makan pisang goreng.” Naufal kembali bersemangat. Matanya bersinar-sinar.

“Tak lupa Mak Ju kesayangan dia. Iyalah, nanti atok gorengkan lebih sikit.” tersenyum Naufal bila mendengar kata-kata itu lalu bangun dan memimpin tangan datuknya dan berjalan beriringan menuju ke rumah mereka yang usang.

Dari kejauhan dia terlihat sebuah van berwarna kekuningan diparkir di lama rumahnya. Siapa pula yang datang petang-petang begini? Hatinya dipagut tanda tanya. Hayunan langkahnya dipercepatkan kerana tidak mahu tetamu yang masih tidak diketahuinya itu menunggu lama.

Semakin lama semakin dekat dia dan Naufal ke rumahnya. Dia mengamati perkataan yang berada di dinding van berwarna kekuningan itu. Tertulis perkataan Rumah Anak-anak Yatim Darussalam. Tiba-tiba langkah kakinya menjadi lemah. Dadanya sebak tiba-tiba. Hayunannya terhenti seketika sehingga menimbulkan kehairanan kepada Naufal di sisinya.

“Kenapa atok? Van siapa yang ada di rumah kita tu atok? Diaorang nak jumpa atok ke?” Naufal yang tidak tahu apa-apa menyoal dan menantikan jawapan dari datuknya. Pak Muin pula bagaikan terpaku berdiri tegak memandang ke laman rumahnya.

Sudah sampai masa rupanya. Mereka sudah datang. Tak sangka secepat ini atau mungkin aku yang masih tidak sanggup untuk berbuat demikian? Ya Allah, Kau kuatkanlah hatiku untuk menghadapi perpisahan ini. Aku lakukan semua ini demi Naufal Ya Allah. Aku mahukan yang terbaik untuk cucuku. Rahmatilah cucuku Ya Allah.

Sambil lafaz bismillah dia mengeratkan genggaman tangannya pada Naufal lalu tunduk memandang ke arah Naufal. “Mari Naufal, atok nak kenalkan Naufal pada seseorang.” Dia cuba mengukirkan senyuman namun terlalu hambar senyuman itu.

Tanpa banyak karenah Naufal menganggukkan kepala dan mengikut langkah Pak Muin menuju ke rumah mereka. Dari jauh kelihatan dua orang wanita dan seorang lelaki dewasa sedang tersenyum menanti mereka di pangkin bawah pohon rambutan yang rendang  di laman rumah.

‘Maafkan atok Naufal. Atok lakukan semua ini kerana atok sayangkan Naufal..’  

------------------------------------------------------------------

© 2014 Suria Shafie, Rumah Tangga Pusing.

No comments: