Friday, November 16, 2007

108 - Kad maroon bertinta emas

Kad undangannya telah sampai ke tanganku. Kad maroon bertinta emas. 1 Disember tarikh keramatnya. Tarikh dia bakal diijabkabulkan dengan suri. Orang pantai timur. Teman sepengajiannya mungkin. Belum pernah bertentang mata dengan surinya. Bagaimana agaknya paras wajah si surinya?

Aku tak pasti akan menerima undanganmu itu. Mungkin teman baikmu perlu memaksa aku untuk ke majlis tersebut. Maaf, jika kelibatku tidak dapat kau lihat pada hari istimewa itu nanti. Walau bagaimanapun... TAHNIAH! Semoga ikatan berkekalan hingga akhir hayat.

Friday, November 09, 2007

Saturday, November 03, 2007

106 - Monolog hujan

Langit kelam, awan hitam berarak perlahan, titis hujan mulai membasahi bumi yang gersang. Hembusan angin kadang kala lembut, namun ada ketikanya kencang menggegar sang pohon renek. Aku masih di sini, berpeluk tubuh di tabir jendela. Memerhati tanpa kata-kata. Melihat tanpa berbicara. Satu keluhan berat kulepaskan, tapi tidak mampu melegakan hati yang gundah.

Kurenung langit yang semakin kelam. Kelihatan beburung terbang riang bermandikan hujan. Bebas menghayun kepaknya. Segaris senyuman hambar kulemparkan. Titis hujan semakin kasar. Lopak-lopak air mula kelihatan. Bergenang di serata tempat. Satu lagi keluhan kulepaskan. Berat sekali!

Aku masih di sini. Menanti tanpa harapan. Kulepaskan semua harapan itu dibawa bayu pergi. Biarkan. Aku yakin, yang terbaik akan aku miliki suatu hari nanti. Bila ianya akan terjadi? Kuserahkan pada kuasa Ilahi. Pada-Nya aku berserah sepenuh jiwa dan ragaku.