Saya Kerja Driver Saja
Suria Shafie
Haryani menatap wajah ibu dan ayahnya dengan penuh kerisauan. Ada ketegangan di wajah ibunya namun ayahnya pula beriak selamba. Nazrul yang duduk di sofa di hadapan mereka kelihatan tenang dan tidak mengalihkan pandangan dari wajah ibu dan ayah Haryani.
Haryani sudah panas punggung menanti kata putus dari mereka. Debaran di dada tidak terkira. Bagai hendak terkeluar jantungnya tika ini. Jika dapat diukur degupan jantungnya ketika ini, kalah pelari 100 meter degupannya.
“Betul kamu kerja driver saja?” Sambil berkerut dahi Pn. Hasnah menyoal kepada Nazrul.
“Ya makcik. Saya kerja driver!” Begitu yakin sekali Nazrul mengiakan pertanyaan dari Puan Hasnah.
“Abang..” bisikan dari Puan Hasnah kepada suaminya Encik Zainal begitu jelas di telinga Haryani dan Nazrul. Nazrul memandang Haryani yang duduk tidak jauh darinya. Haryani membalas pandangan itu lalu mengorak senyuman hambar.
“Ehem...”
Sempat Encik Zainal berdehem sebelum menarik nafas lalu menghembus berat.
“Betul kamu kerja driver?” Soalan yang sama diajukan kepada pemuda di hadapannya itu.
Kali ini Nazrul tersenyum dan menganggukkan kepalanya berkali-kali. “Ya, pakcik. Saya kerja driver.”
Encik Zainal pula menganggukkan kepalanya beberapa kali.
“Jadi, kamu datang ke sini untuk beritahu kepada kami yang kamu ingin berkahwin dengan Haryani?”
“Ya, pakcik. Saya ingin mengambil Haryani sebagai isteri saya yang sah!”
Bagaikan skrip drama pula Nazrul melafazkan kata-kata itu. Begitu yakin dengan tujuan kedatangannya pada petang itu berjumpa dengan kedua ibu dan bapa Haryani.
Suasana kembali sunyi. Puan Hasnah mempamerkan riak muka tidak menyenangkan. Encik Zainal masih tenang dan memandang kepada Haryani.
“Yani, macam mana?”
Tersentak Haryani dengan soalan dari ayahnya itu. Dia meramas-ramas jari-jemarinya dengan kuat. Gelisah. Berdebar-debar.
Nazrul dikenalinya enam bulan yang lalu secara kebetulan ketika dia mengalami kemalangan kecil di lampu isyarat di Jalan Ipoh. Dia terlanggar belakang kereta seorang wanita lain yang memberhentikan keretanya secara tiba-tiba. Kebetulan Nazrul yang memandu di belakangnya membantu menyelesaikan masalah itu.
Dari perkenalan itu terjalin persahabatan dan akhirnya mengikat hati kedua-duanya. Walaupun hanya saling mengenali dalam sesingkat itu, Nazrul mengambil keputusan untuk menyunting Haryani menjadi suri hatinya. Keputusan itu disambut Haryani dengan hati terbuka. Baginya perhubungan itu menjadi lebih indah sekiranya diikat dengan ijab dn kabul. Lebih barkah.
“Yani... Yani...” Haryani kehilangan kata-kata. Ingin dia mengaku bersetuju tapi setelah melihat reaksi ibu dan ayahnya, dia mula gusar sekiranya niat mereka tidak dipersetujui oleh ibu dan ayahnya.
Haryani memang mengetahui Nazrul bekerja sebagai pemandu. Dia tidak kisah dengan pekerjaan lelaki itu kerana dia jujur dan ikhlas terhadap Haryani. Lagipun Nazrul amat menghormatinya sebagai seorang wanita. Mereka tidak bercinta seperti pasangan uda dan dara yang lain. Sebaliknya dari pandangan dan bahasa tubuh sudah cukup untuk menyatakannya.
Nazrul memandang Haryani dengan tenang.
‘Ahhh... kenapa kau begitu tenang begini?’ Detik hati Haryani melihat wajah Nazrul.
“Yani?” Puan Hasnah pula memanggilnya sambil mengangkat kening.
Dengan membisikkan bismillah di dalam hati, Haryani tekad.
“Yani terima Nazrul ibu...” Ucapnya sambil menundukkan wajahnya dan memandang ke jari-jemarinya yang dikepal-kepal. Sejuk seluruh jari-jemarinya tika ini.
“Hah?? Kamu sungguh-sungguh Yani?” Bagaikan tidak percaya Puan Hasnah mendengar kata-kata anak tunggalnya.
“Dia kerja driver!” Puan Hasnah menekankan perkataan driver tu.
“Hasnah...!” Encik Zainal menegah dengan lembut perlakuan isterinya itu.
“Ya ibu.. Yani terima dia seadanya. Yani percaya dia dapat menjaga dan membahagiakan Yani.” Kali ini Haryani semakin yakin dengan kata hatinya. Menerima Nazrul sebagai imamnya jika itu ditakdirkan oleh Allah.
Terdengar keluhan berat keluar dari mulut ibunya. Dia tahu ibunya kecewa dengan keputusannya. Setiap ibu menginginkan anaknya berkahwin dengan seseorang yang berkerjaya bagus-bagus sebagai jaminan masa hadapan anak gadisnya.
“Abang...” Rengek Puan Hasnah kembali memandang wajah suaminya di sebelah kirinya.
Encik Zainal menganggukkan kepalanya sambil menepuk-nepuk tangan isterinya yang kegelisahan di sebelahnya.
“Pakcik... makcik... saya tahu mungkin saya bukan lelaki pilihan pakcik dan makcik untuk menjadi suami kepada Haryani. Tapi saya ikhlas kepada Haryani dan saya sukakan Haryani. Izinkan saya untuk mengambil Haryani sebagai isteri saya yang sah. Saya berjanji akan menjaga dan mendidik Haryani untuk menjadi seorang isteri yang solehah selagi hayat saya dikandung badan dan tak akan mensia-siakan dia.” Sekali lagi Nazrul berkata dengan yakin. Kali ini wajahnya menggambarkan kesungguhan hatinya terhadap Haryani.
“Beginilah Nazrul... betul kamu akan berpegang pada janji-janji kamu ini?” Encik Zainal menyoal.
“Betul pakcik!” pantas jawapan dari Nazrul.
“Baiklah. Memandangkan kamu berdua sudah suka sama suka. Pakcik dan makcik tiada halangan. Nanti minta keluarga kamu datang untuk merisik bulan depan. Berkawan lama-lama pun tidak manis. Biarlah kita ikatkan kamu berdua dengan ikatan yang sah.”
Terlopong Puan Hasnah mendengar kata-kata suaminya itu. Dia seakan tidak percaya begitu mudah sekali suaminya menerima lamaran dari lelaki muda di hadapan mereka ini. Lelaki yang hanya bekerja sebagai pemandu hendak digandingkan dengan anak gadisnya yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat multinasional di ibukota.
“Apa abang buat nie?” sedikit membentak dia menyoal suaminya.
Encik Zainal tidak membalas sebaliknya hanya tersenyum kepada isterinya yang berwajah masam.
Nazrul dan Haryani menarik nafas lega setelah mendengar kata-kata Encik Zainal. Walaupun masih terselit kegusaran apabila melihat reaksi ibu Haryani, sekurang-kurangnya ayah Haryani sudah memberi keizinan. Selebihnya hanya perlu memujuk dan meyakinkan ibu Haryani sahaja.
“Mereka sudah suka sama suka. Biarlah... Kita perlu beri restu sahaja pada mereka. Awak nak halang kenapa?”
“Dia kerja driver!!”
“Driver pun pekerjaan juga. Ada kerja untuk tanggung anak kita. Bukannya tak bekerja! Janji pekerjaan itu halal!” Kata-kata En Zainal yang sedikit meninggi membuatkan Puan Hasnah sedikit tersentak. Dia memahami maksud itu yang mana suaminya sudah membuat keputusan dan tidak boleh dibantah lagi. Dua puluh lapan tahun berkahwin dengan lelaki itu cukup untuk dia memahami perangai suaminya itu.
Puan Hasnah terdiam dan hatinya sedikit terkilan dengan keputusan suaminya yang mengikuti kehendak anak gadisnya untuk menerima lamaran pemuda yang hanya bekerja sebagai driver. Sedih hatinya untuk menerima kenyataan yang menantunya hanya seorang driver!
“Terima kasih pakcik...makcik. Saya akan hubungi keluarga saya untuk memberitahu berita gembira ini. Saya minta diri dululah kalau begitu.” Begitu ceria sekali Nazrul sambil memandang wajah Haryani. Senyuman manis dihulurkan buat Haryani yang turut sama membalas senyuman itu. Dia tidak menyangka ayahnya akan memberi kebenaran dan restu.
“Iyalah. Jangan lupa minta keluarga kamu hubungi kami untuk bincang tarikh dan masa yang sesuai untuk keluarga kamu datang berbincang.” Sekali lagi Encik Zainal mengingatkan Nazrul. Nazrul menganggukkan kepalanya dengan bersemangat lalu bingkas bangun dan menghulurkan tangan kepada Encik Zainal.
“Oh, ya... kamu selalu drive hantar barang ke mana?” soal Encil Zainal sambil menyambut huluran tangan Nazrul.
“Err... selalunya ke luar negara.” Balas Nazrul teragak-agak.
“Luar negara?” soal Encik Zainal tidak percaya.
“Iya pakcik.”
“Ke mana? Thailand? Singapura?”
“Tak juga. Kadang-kadang US, Australia dan lain-lain tempat.” Jawab Nazrul jujur.
“US? Australia? Kamu driver apa sebenarnya?’ Kali ini Puan Hasnah pula menyoal dengan kerutan di dahi. Biar betul bawa lori sampai ke Amerika dan Australia?
“Oh, saya driver kapalterbang makcik. Pilot!” jawab Nazrul penuh makna. Dia tersenyum-senyum sambil mengenyitkan mata kepada Haryani yang turut terlopong mendengar kata-kata Nazrul itu.
Memang selama dia berkawan dengan lelaki itu tidak pernah sekali pun dia bertanya tentang pekerjaan sebenar lelaki itu. Nazrul hanya memberitahunya dia bekerja sebagaidriver dan dia tidak pula menyoal lebih lanjut tentang pekerjaan lelaki itu.
“Allahuakhbar....!!” tidak semena-mena lengan Nazrul ditepuk oleh Puan Hasnah lalu ketawa besar. Encik Zainal juag turut ketawa melihat gelagat isterinya. Terkena mereka sekeluarga. Nazrul dan Haryani turut ketawa melihat gelagat Puan Hasnah itu.
“Terkena kita ye...” Ucap Encik Zainal dengan senyuman penuh makna. Dia tahu kini siapa lelaki yang bernama Nazrul ini dan dia tidak ralat lagi untuk memberi restu kepada lelaki ini untuk memperisterikan anak gadisnya.
“Menantu kita pilot bang!!” Puan Hasnah teruja setelah mendengar pekerjaan sebenar Nazrul.
“Bakal menantu...” Encik Zainal tersenyum membetulkan kata-kata isterinya yang begitu gembira.
“Iyalah... bakal menantu...” ucap Puan Hasnah sambil menjeling tersipu-sipu pada suaminya yang sudah ketawa besar.
© 2014 Suria Shafie, Astaka Seni.
No comments:
Post a Comment