Monday, July 06, 2015

295 - Jodoh itu kurniaan dari Ilahi

Jodoh itu perkahwinan.

Ya, siapa yang tidak mahu berkahwin dan melahirkan zuriat penyambung keturunan. Aku juga impikan sebuah perkahwinan.. mendapat suami yang baik, beriman, bertanggungjawab.. dapat lahirkan zuriat yang comel-comel.. siapa yang tak mahu semua itu.

Cuma waktunya belum tiba. Aku masih menanti jodoh itu sampai. Aku masih meneka-neka siapa jodoh yang Allah pasangkan untuk aku. Usia saban tahun semakin meningkat, dan memang aku akui aku semakin gelisah dan panik kerana jodoh belum sampai.

Jangan kata aku terlalu memilih jodoh. Ya, memang aku memilih jodoh. Dalam dunia sekarang, seorang wanita perlu memilih jodohnya. Selebihnya dia serahkan pada Allah, bertawakkal semoga jodoh yang dipilih adalah tepat. Jika tidak diperkenankan, tidak menjadi.. maka itu bukanlah jodoh yang Allah tetapkan untuknya.

Redha... Ya, aku memang redha dengan apa yang berlaku. Mungkin aku belum cukup baik atau bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri, menantu dan ibu. Mungkin juga Allah mahu aku berbakti kepada keluarga terutama sekali ibu yang semakin uzur. Ya, banyak kemungkinannya. Yang penting aku kena bersangka baik pada Allah. Kerana Allah yang Maha Mengetahui, sedangkan aku tidak mengetahuinya. Apa yang Allah aturkan padaku, adalah yang terbaik untuk diriku. Yang aku sendiri tidak tahu untung dan ruginya. Hanya Allah yang mengetahui.

Berdoa untuk diri sendiri tidak pernah putus. Setiap kali usai solat, doa tidak pernah putus untuk diri ini. Berdoa dengan deraian airmata yang tidak terkira. Adakalanya aku terasa penat berdoa dan terasa seperti sia-sia. Namun, cepat-cepat aku beristighfar. Memohon keampunan dari Allah kerana meragui ketentuannya. Memang aku akui, adakalanya hati ini lelah sendiri. Penat...

Jangan menghina aku yang lambat jodoh. Dan jangan berbangga dengan kamu yang cepat jodohnya. Sebaliknya berdoalah untuk aku agar dipermudahkan urusan jodohku. Hanya doa kalian yang aku minta, bukannya cemuhan dan sindiran yang menghiris sekeping hati yang telah sedia terluka. Jangan ditambah rasa pedih dan ngilu di hati ini.

Itu sahaja pintaku. Doakan aku... doakan aku.. doakan aku...


No comments: