Dear diari,
Ahmad Suhaizam... sudah lama aku tidak menyebut nama lelaki ini. Sudah lama juga aku tidak menghubungi dia. Entah mengapa hatiku menjadi keras seperti batu. Adakah kerana aku cuba menghukum diri sendiri atau yang paling tepat, tidak menerima kenyataan yang dia sudah bertunang. Ya, dia sudah bertunang!!!
Dear diari,
Mungkin kau sendiri sudah sedia maklum siapa lelaki ini dalam hidup aku. Nama itu sudah berulang kali aku ukirkan di dadamu sejak perkenalan kami dahulu. Ada manis... ada yang pahit... ada yang membahagiakan. Tapi akhirnya kepahitan sahaja yang tinggal. Kau juga sudah sedia maklum apa yang berlaku antara aku dan dia. Hanya kau yang tahu diari. Padamu aku curahkan segala-galanya. Padamu aku coretkan segala apa yang terpendam di hatiku. Dan ada ketikanya juga kau menjadi tempat aku melepaskan kemarahanku terhadapnya. Maafkan aku diari.
Dear diari,
Sejak akhir-akhir ini, dia sering menghubungiku kembali. Dan setiap kali dia menghubungiku, acapkali dia mengingatkan aku agar menghadiri majlis perkahwinannya. Apa maksud dia sering mengucapkan begitu? Adakah sengaja mahu menyakiti hatiku ataupun dia sebenarnya ikhlas atau juga mahu melihat reaksiku? Walaupun kini, tiada apa perasaan yang datang bila dia berkata begitu, namun aku tak suka dengan tindakannya itu.
Dear diari,
Semalam dia datang bersama rakan-rakannya. Ada urusan di sini dan dia memerlukan bantuanku. Perkara pertama yang dia sebutkan ada tentang sahabatnya yang dia ingin sekali perkenalkan kepadaku. Atau lebih tepat, dia ingin menjodohkan kami berdua. Entah apa niat dia melakukannya. Adakah kerana untuk menutup rasa bersalah atau mungkin atas sebab-sebab lain yang aku sendiri tidak tahu. Bagi aku yang tidak pernah mengakui kewujudan lelaki itu, aku tidak mempedulikannya. Bagi aku, lelaki itu tidak wujud dan tidak perlu untuk diberi perhatian. Satu lagi ayat yang biasa dia sebutkan setiap kali berjumpa (walaupun setahun sekali), dia sering mengatakan aku semakin cantik. Hah! Cantik-cantik pun, akhirnya dia bersama dengan perempuan lain. Dan dia sekali lagi mengingatkan aku agar datang ke majlis perkahwinannya nanti. Hmmm...
Dear diari,
Memang perasaan ini sudah tiada, tapi entah mengapa aku sukar untuk melepaskan dia. Aku sukar untuk melepaskan kenangan-kenangan bersama dia. Aku tak tahu mengapa aku masih 'memegang' sesuatu yang telah tiada. Sesuatu yang telah menjadi milik orang lain. Diari, mengapa aku begini? Aku tak mahu terus hidup dgn kenangan itu. Aku tak mahu diari. Bantulah aku diari.. bantu aku melepaskannya. Aku ingin mengakhirinya. Aku ingin menamatkan kisah kami. Ianya telah lama menjadi sejarah dan kenangan. Kau sendiri tahu diari, betapa aku ingin sekali keluar dari situ. Aku tak mahu lagi berada di dalam kenangan itu.
(Dah lama tak berkarya. Sekali sekala gatal tangan plak nak menconteng-conteng kat sini... hehehehhe.. Salam Ramadhan untuk semua...!)
1 comment:
macam real lah karya neh..ho ho..
Post a Comment