Monday, May 19, 2014

259 - Kejohanan Boling MAKSAK 2014

Jumaat lepas (16/5/2014) aku dengan Ain & Ajue dapat mewakili UPM dalam Kejohanan Boling MAKSAK 2014. Dah lama tak join game MAKSAK nie. Akhirnya tahun ini ada nampak kelibat kami di MAKSAK. Kali ini dibuat di Wangsa Bowl, Setia City Mall, Setia Alam. 

1st time main kt sini. Lane sintetik, pin cam ampeh...hahaha..langsung tak carry. Baling masuk poket, pastu kena split kaw-kaw habaq ang!! Strike plak unpredictable. Pin 7 & 10 pin antoo! Senang citer sapa main hook or backup memang pening la nak carik board mana. Jenuh adjust. Penat seh dibuatnya. 

Apa-apapun dpt top 10 pon okey. Current position after block 1 tu dpt no. 7 out of 24 team. Diberitahu hari tu perempuan main blok 1, pagi Jumaat tu. Tup-tup dpt tau ada 3 team lagi main blok 3 ptg lepas block 2 lelaki abis main. Hurmmm... diaorang penganjur kannnnnnnn.. suka hari diaorang la nak run event camtu kannnnnn.... -_-"

Seperti biasa, we all just happy dengan game kitaorang. Tak ada tuah untuk dapat hadiah sebab placing 1-3 jek yang dapat. Individu lak just johan. Tu diaaaaa... punya la bajet!!! Hehehehehe...






Monday, May 12, 2014

258 - Bila


Bila semuanya sudah tidak menjadi seperti dulu, bila semuanya sudah berubah...hanya mampu berharap yang ianya berakhir tanpa menyakitkan...

Friday, May 09, 2014

257 - Mata pena


Mata pena boleh menjadi lebih tajam dari mata pedang. Kata-kata yang dicoretkan kadang kala menghiris perasaan dengan begitu mendalam. Tanpa kita sedar ada hati yang terluka dek kata-kata yang dicoretkan oleh kita.

Berhati-hatilah teman.

256 - Tragedi pagi Jumaat

Bangun sudah terlewat pagi nie, 6.30 baru bangun untuk solat Subuh. Usai solat subuh pergi ke dapur untuk panaskan sekejap kuah kastard untuk puding roti yang ditempah Syamel untuk jamuan perpisahan En. Aris pagi nanti. Lepas tengok kuah dah panas sikit teros tutup api dan teros gi mandi.

Dah siap mandi & pakai baju teros operasi memotong puding roti dan masukkan dalam tupperware. Jam dah 7 setengah. Aiseh kelambatan la hari nie. Gara-gara kepenatan malam semalam masak puding roti nie. Dekat pukul 12 jugak masuk tidor.

Dah siap-siap teros angkut barang masuk dalam kereta. Kasut pon main sarung je tak sempat nak menengok. Sebab nak terus hantar pada Syamel kt Ekologi. Punya la kelam-kabut sampai tak sedar tersaruk sandal lain sebelah. Haiyohhhh...!! Dah sampai Ekologi baru perasan sebab rasa pelik pakai kasut longgar sebelah. Sekali tengok kat kaki... hahhhh... tu dia... lain sebelah...hahahahaha...

Sabor je la.. Nasib baik lah ada kasut spare dalam boot. Boleh la ganti yang lain.

So moral of the story, kot ye pon lambat... jangan hilang fokus kalu tak maluuuuu... sib baik sendiri yang perasan. Kalau orang lain yg perasan.. malu la sayerrrrrr..... hahahahahaha...


255 - Monolog hujan petang



Hujan setiap petang... menyejukkan suasana...

Semakin hari semakin perasaan ini kosong. Banyak yang bermain di fikiran... hal keluarga dan hal sendiri. Kesihatan mak yang adakalanya okay dan adalakanya tak okay. Setiap kali telefon berbunyi tanda mesej masuk, hati akan berdebar-debar. Takut sekiranya menerima berita buruk dari kampung. Sungguh itu yang aku rasa setiap kali. Seakan fobia setelah hal tentang arwah abah dulu.

Mak pon banyak kali bertanya tentang teman aku. Teman yang tidak berteman sampai sekarang. Macam mana nak buat. Entahlah kenapa berat sungguh jodohku. Mungkin Allah mahu aku berbakti kepada keluarga terlebih dahulu.

Setiap kali selepas solat, tidak pernah sekali pun aku tidak memohon kepada Allah agar meringankan jodohku dan mengurniakan aku dengan jodoh yang terbaik untuk diriku, agamaku dan juga masa depanku. Nampaknya masanya masih belum sampai untuk aku dikurniakan dgn jodoh yang tepat. Aku tetap bersangka baik dengan Allah. Pasti ada hikmahnya.

Memang ada yang mengintai tapi hati ini pula yang tidak ada perasaan itu pada dia. Serba salah pun ada bila tahu ada yang cuba-cuba nak dekat tapi dengan penuh berhemahnya aku menolak. Mungkin ada yang berkata aku ini memilih sangat. Ya, perlu selektif berkenaan jodoh. Tambah-tambah lagi dalam zaman sekarang ini, penceraian berlaku setiap 2 minit! Bayangkan!!

Aku nak berkahwin bukan untuk setahun dua, tapi untuk seumur hidup. Perlu mencari pasangan yang sanggup susah dan senang bersama, suka dan duka bersama, yang saling mendorong antara satu sama lain. Aku mencari bukan hanya untuk menjadi suami dan bapa kepada anak-anakku nanti, malah untuk menjadi kekasih, sahabat dan teman baik bagi diriku.

In shaa Allah... aku percaya pada takdir Allah. Semua sudah tertulis. Kita hanya perlu membuat pilihan samada ianya baik atau buruk pada kita.

Thursday, May 08, 2014

254 - RESPECT!



"Respect other people's feelings. Even if it doesn't mean anything to you, it could mean everything to them."

Perasaan hormat perlu ada dalam diri setiap orang. Sebab itu melambangkan keperibadian seseorang itu. Hormat itu juga tidak mengenal batas usia. Bukan yang muda sahaja yang perlukan hormatkan yang tua, sebaliknya yang tua juga turut perlu menunjukkan sikap itu terlebih dahulu sebagai teladan kepada yang muda.

Hormati perasaan orang lain sebagaimana kita mahu orang lain hormati perasaan kita. Mungkin ia tidak memberikan apa-apa makna kepada kita, tapi kepada orang lain ia merupakan sesuatu yang amat bermakna.

Juga kebaikan yang nampak kecil di mata kita, mungkin besar di mata mereka.

Sunday, May 04, 2014

253 - Diam lebih baik



"Sometimes not telling people anything is a good thing."

Ya! Sangat setuju dengan kata-kata di atas. Kadang-kadang kita hanya perlu diam dari menceceh bercerita tentang diri kita kepada orang. Sebab mungkin orang tak suka dengan apa yang kita katakan itu. Kita tak tahu hati orang. Rambut saja sama hitam tapi hati lain-lain. Tapi, sekarang perumpamaan tu dah tak boleh pakai kot sebab macam-macam warna 'tumpah' atas rambut tu...hehehehe..

Kita tidak tahu apa yang tersirat di dalam hati orang di sekeliling kita setiap kali kita bercerita terutama tentang diri sendiri. Kalau kita bercerita tentang sesuatu yang bagus terjadi kepada diri kita, mungkin ada yang berfikir “Eh dia nie macam good good saja..”. Kalau kita bercerita pasal masalah pula, mungkin juga ada yang cakap, “Dia nie nak mintak simpati je..” Susahkan.. kadang-kadang rasa macam paranoid pon ada.

PARANOID! Perkataan yang selalu timbul dalam kepala aku jika aku berfikir tentang sesuatu yang negatif yang mungkin terjadi pada diri aku. Klise kan? Kenapa nak sentiasa bersangka buruk sepatutnya kita mesti berfikiran positif. Barulah dapat hidup bahagia. Betul tak? Hah...susahnya idop!

Bagi aku, aku lebih suka berdiam diri dari BERCERITA KEPADA ORANG tentang perasaan aku. Mungkin juga aku ini lebih suka memendam perasaan hingga menjadi barah di dalam hati. Orang mungkin melihat aku yang suka ketawa dan tersenyum. Tiada masalah, happy sokmo. Cukuplah begitu sebab lebih senang tersenyum dari menjelaskan apa yang membuatkan kita bersedih. Betul tak? Hahahahaha…

Friday, April 18, 2014

252 - Cerpen : DEMI NAUFAL

          Demi Naufal


            Wajah anak kecil berumur lima tahun itu ditatap dengan penuh rasa kasih dan simpati yang melimpah ruah. Pak Muin leka melihat Naufal yang sedang bertenggek di tebing sungai sedang memancing dengan joran batang bemban yang dibuat semalam. Itupun kerana Naufal merengek-rengek meminta dibuatkan joran setelah melihat kawan-kawannya mempunyai joran untuk memancing di sungai.

            Pak Muin mengeluh berat. Badannya tidak segagah dahulu lagi. Dia sudah tidak mampu untuk membanting tulang bekerja. Dalam usia melewati tujuh puluh tahun, dia sudah tidak mampu untuk membuat kerja-kerja mengangkut batu-bata di tapak-tapak pembinaan, tidak mampu untuk ke kebun getah untuk mengambil upah menorah dan juga tidak mampu untuk membuat kerja-kerja kampung untuk menampung perbelanjaan dia dan Naufal.

            Hidupnya walau hanya berdua dengan Naufal tapi budak itu semakin membesar. Tahun hadapan sudah perlu mendaftarkan dia ke prasekolah. Banyak perlukan duit. Yuran sekolah perlu dibayar. Baju, beg dan kasut sekolah lagi perlu dibeli. Di mana dia harus mencari duit untuk semua itu? Semakin difikirkan semakin kusut fikirannya.

            “Atok, mana ikan tak makan umpan Naufal pun.” Naufal merungut sambil memandang wajah datuknya yang enak duduk bersandar di bawah pohon rendang tidak jauh dari tebing sungai itu.

            Pak Muin tersenyum melihat muncung Naufal yang tidak puas hati pancingnya yang masih tidak dipagut ikan walaupun sudah hampir sejam dia di situ. Perlahan-lahan dia bangun dan mengorak langkah terketar-ketar mendekati Naufal yang menongkat dagunya dengan tangan kiri sementara tangan kanannya memegang batang jorang dengan erat. Pak Muin mengambil tempat di sebelah Naufal lalu memeluk bahu kecil itu dan membawanya rapat di sisinya.

            “Naufal ada baca bismillah tak masa lempar pancing tadi?” Soal Pak Muin dengan lembut memujuk Naufal yang seakan merajuk.

            Naufal pantas menepuk dahinya. “Ala, Naufal lupalah atok!” Dia ketawa kecil melihat gelagat Naufal itu. Serentak dengan itu Naufal menarik pancingnya dari dalam sungai lalu melemparkannya semula ke dalam sungai dengan iringin bismillah. Pak Muin menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah Naufal itu.

            “Naufal, tahun depan Naufal sudah perlu ke sekolah. Naufal suka tak pergi sekolah?” Soal Pak Muin sambil mengusap kepala Naufal. Wajah Naufal direnung dengan pandangan berkaca. Ahh… mengapa hati ini terlalu sebak pula.

            “Suka Atok! Naufal nak masuk sekolah. Nanti boleh jumpa kawan-kawan.” Jawab Naufal bersemangat. Wajahnya ceria sekali setiap kali bercakap tentang sekolah. Keterujaannya terhadap sekolah memang tidak dapat disembunyikan.

            Pak Muin tersenyum lebar mendengar kata-kata Naufal. “Bagus Naufal. Atok pun suka kalau Naufal sudah masuk sekolah. Nanti Naufal belajar pandai-pandai ya. Bila besar nanti cari kerja yang bagus-bagus.”

“Ya Atok. Naufal nak jadi doktor nanti. Boleh ubatkan Atok. Nanti Atok sihat, tak sakit-sakit lagi.” Semakin bersemangat Naufal bercerita tentang cita-citanya. Pak Muin ketawa kecil lalu dia meraih Naufal dalam pelukannya. Air mata yang di tahan-tahan tadi terus merembes keluar.

Dia tahu dia sering sakit. Penyakit semputnya semakin teruk. Kadang-kala penyakit itu menyerangnya tidak kira masa. Ternyata daya tahan sakitnya sudah semakin lemah. Dia risau jika berlaku apa-apa kepadanya, bagaimana dengan Naufal.

Naufal satu-satunya ahli keluarga yang dia ada. Dialah pengarang jantung. Dia cucu kesayangan dan dialah yang menjadi harapannya di masa depan kelak. Tapi dia takut jika dia tidak berkesempatan untuk melihat Naufal membesar dan mencapai cita-citanya.

Pak Muin cepat-cepat menyapu air matanya sebelum melepaskan pelukan terhadap Naufal. “Naufal nak jadi doktor?” Pak Muin menyoal sambil tersenyum lagi.

“Betul Atok! Naufal nak jadi doktor. Boleh ubatkan Atok. Boleh tolong orang lain juga. Atokkan selalu cakap, kita kena selalu tolong orang baru Allah suka dan sayang pada kita.” Begitu bijak mulut si kecil itu berkata-kata. Pak Muin kagum dengan jawapan Naufal. Mungkin kerana hidupnya yang serba kekurangan membuatkan dia cepat matang dari usia sebenarnya.

“Baiknya cucu atok.” Ujar Pak Muin lalu mengucup kepala Naufal.

Naufal tinggal bersamanya kira-kira tiga tahun yang lalu selepas ibu dan bapanya meninggal dalam kemalangan jalanraya. Waktu itu dia memang sudah kematian isteri tinggal bersama anaknya Suhana dan menantunya Baharom. Naufal yang baru berusia dua tahun ketika kemalangan itu terjadi. Pemergian anak dan menantunya menghadap Ilahi meninggalkan Naufal yang kebetulan tidak bersama ibu dan bapanya sewaktu kemalangan itu terjadi.

Sejak dari itu dialah yang menjaga dan mengasuh Naufal. Jika dia perlu keluar bekerja, dia akan meninggalkan Naufal dalam jagaan Juriah, jiran sebelah rumahnya. Juriah tidak mengenakan sebarang upah untuk menjaga Naufal. Dia menjaga Naufal dengan ikhlas untuk membantu Pak Muin. Lagipun dia sudah menganggap Pak Muin seperti ayahnya sendiri.

Angin petang itu bertiup sungguh nyaman. Sesekali dedaun berguguran lalu jatuh ke dalam sungai dan dibawa mengalir ke hulu sungai. Suasana yang sungguh tenang itu sedikit dapat mententeramkan hati Pak Muin yang sejak kelmarin ditimpa gundah. Bagaimana caranya untuk aku memberitahu kepada Naufal tentang itu? Mahukah dia mendengar kata-kataku? Dapatkan Naufal menerimanya nanti? Pelbagai persoalan berputar-putar di benaknya.

Pak Muin menarik nafasnya dengan dalam lalu menghembusnya dengan berat sekali. Dia mencari kekuatan untuk menerangkan kepada Naufal yang masih mentah itu. Dia tidak mahu emosi dan pemikiran Naufal terjejas dengan apa yang bakal dia beritahu kelak.

“Naufal..” Panggilnya perlahan. Naufal berpaling memandang wajah datuknya yang semakin dimamah usia itu.

“Naufal tahukan yang atok sayangkan Naufal. Terlalu sayangkan Naufal sebenarnya.” Berhati-hati dia menyusun kata-kata untuk si kecil itu. Wajahnya dimaniskan seboleh mungkin sambil tangannya menggenggem erat tangan kiri Naufal.

“Naufal pun sayangkan atok.” Balas Naufal manja lalu tersengih. Hatinya semakin hiba mendengar kata-kata Naufal.

“Atok tahu Naufal pun sayangkan atok. Atok mahu Naufal dapat belajar dengan baik dan selesa. Cukup makan dan minum serta pakainya. Atok mahu Naufal masuk sekolah, belajar rajin-rajin dan jadi budak pandai. Nanti Naufal nak jadi doktorkan? Jadi kena belajar pandai-pandai. Jangan main-main di sekolah.”

“Baik atok. Naufal janji Naufal akan belajar rajin-rajin nanti di sekolah. Bila dah pandai boleh jadi doktor. Boleh Naufal ubatkan atok!” kali ketiga Naufal mengulangi kata-kata itu membuatkan hati Pak Muin semakin direnggut hiba. Bersungguh-sungguh cucunya berjanji untuk mengubatinya. Nampak sangat dia selalu sakit dan tidak mampu untuk menjaga cucunya lagi.

Pak Muin menahan rasa sedih yang semakin menggila di dalam hatinya. Ahhh… hatimu terlalu suci Naufal. Tidak sanggup rasanya untuk melukakan hatimu itu.

“Kenapa atok sedih? Atok tak sihat ye? Atok sakit lagi?” bertubi-tubi soalan keluarga dari mulut Naufal. Wajahnya berkerut menunjukkan kerisauannya melihat ada genangan air mata di kelopak mata datuknya.

Cepat-cepat Pak Muin menyapu air mata dengan belakang tangan kanannya. “Mana ada atok sedih. Atok sihatlah. Kan tadi Naufal dah beri atok makan ubat.” Senyuman dipaksa diukur di bibirnya buat Naufal.

“Atok kena makan ubat selalu. Nanti baru cepat baik. Kan doktor cakap hari tu. Kalau selalu tak makan, macam mana nak sihat.” Petah si kecil itu menasihati datuknya yang pada fikirannya selalu mengelat dari mengambil ubat yang dibekal oleh hospital di daerah itu.

“Iyalah Doktor Naufal, nanti atok makan ubat tu. Atok kadang-kadang lupalah…” ujarnya lalu ketawa kecil melihat riak wajah tidak puas hati yang ditunjukkan oleh Naufal kepadanya. Memang dia selalu buat-buat lupa untuk mengambil ubat-ubatannya kerana sudah putus asa. Walaupun ubat dimakan ikut aturan, semputnya tetap datang tidak kira masa.

Naufal yang seakan berpuas hati dengan jawapan datuknya kembali menumpukan perhatiannya kepada batang pancingnya. Sesekali dia menyanyi perlahan mengisi rasa bosan menunggu umpannya dimakan ikan.

Fikiran Pak Muin melayang-layang mengingatkan kembali perbualannya dengan suami Juriah, Kamal. Tika itu dia baharu saja keluar dari wad hospital setelah diserang semput teruk. Empat hari jugalah dia menjadi penghuni di wad hospital dan selama dia di sana, Naufal dijaga oleh Juriah.

“Kamal, aku rasa aku dah tak mampu nak jaga Naufal. Aku semakin tua dan penyakit aku ini semakin hari semakin teruk. Aku takut jika aku mati, Naufal tiada siapa yang nak menjaganya.” Ucapnya pada waktu Kamal datang melawatnya di wad.

“Kenapa Pak Muin cakap begitu? Tak baiklah Pak Muin. Lagipun saya dan Juriahkan ada boleh jagakan Naufal tu.” Kamal membalas lembut kata-kata pak Muin.

“Kamu pun bukanlah orang senang. Kerja makan gaji dengan Ah Leng bawak lori tu berapalah sangat. Anak-anak kamu pun ramai. Inikan mahu menanggung Naufal pula. Menyusahkan kamu saja.” Pak Muin pula membalas. Kamal hanya tersenyum. Lelaki tua yang terbaring di atas katil di hadapannya itu dipandang dengan penuh kasih. Pak Muin sudah dianggap seperti bapanya sendiri. Mereka sekampung. Setelah berkahwin dengan Juriah, dia tinggal berjiran dengan Pak Muin. Pak Muin juga banyak membantunya selama ini. Dia amat menghormati Pak Muin.

“Setakat Naufal seorang apalah sangat Pak Muin. Jangan risaulah, saya boleh tanggung Naufal. Pak Muin jangan risau.” Kamal cuba mententeramkan hati tua Pak Muin.

Pak Muin mengeluh dan menggeleng-gelengkan kepalanya. “Aku tak mahu menyusahkan kamu berdua Kamal. Cukuplah selama ini kamu tolong aku jagakan Naufal. Inikan pula nak tanggung makan dan pakainya. Sekolah lagi. Semua tu perlukan duit yang banyak Kamal. Aku tak mahu bebankan kamu.”

“Pak Muin...”

“Beginilah Kamal. Aku sudah buat keputusan. Seperti yang pernah aku beritahu kamu dulu, aku nekad kali ini. Aku buat semua ini untuk kebaikan Naufal. Aku mahu nasibnya terbela. Walau pun aku masih hidup, tapi lama mana lagi aku nak menongkat langit. Tiba masanya nanti, aku akan pergi juga. Cuma aku mahu pastikan nasib Naufal terbela dan terjamin. Aku ini dah tak lama hidup Kamal.” Lirih sekali Pak Muin berkata-kata. Sebak di dadanya tidak mampu ditahan lagi. Dia membiarkan air matanya mengalir perlahan membasahi pipi tuanya yang sudah berkedut itu.

Kamal hanya mampu tertunduk memandang lantai. Tidak sanggup menatap wajah Pak Muin yang sangat sedih itu. Hatinya turut sebak tatkala mendengar kata-kata Pak Muin itu. Dia turut mengakui kebenaran kata-kata Pak Muin. Sudah pasti dia mahukan yang terbaik untuk satu-satunya cucunya yang ada. Sedangkan dia sendiri belum tentu boleh memberi jaminan akan menjaga Naufal dengan baik. Pendapatan dia sendiri pun ada pasang surutnya. Dengan upah dia perolehi ketika ini pun hanya cukup-cukup makan sahaja.

“Baiklah kalau itu yang Pak Muin mahukan. Saya ikutkan sahaja dan tak akan menghalang. Saya faham Pak Muin mahukan Naufal dijaga dengan elok.” Kamal beralah dengan permintaan Pak Muin.

“Kamu jangan ingat aku tak percayakan kamu pula Kamal.” Terbit rasa bersalah di dalam hati Pak Muin bila dia mempertahankan keputusannya itu.

“Eh, tak adalah Pak Muin. Saya hormati keputusan Pak Muin itu. Saya faham. Juriah pun faham. Pak Muin jangan fikir yang bukan-bukan.” cepat-cepat dia meningkah kata-kata Pak Muin. Dia tidak mahu hati tua itu terguris. Kalau Pak Muin sudah nekad, dia tidak mahu menghalangnya.

“Baguslah kalau begitu. Nanti kalau kamu berkelapangan tolonglah tengok-tengokkan Naufal ya. Sudah tiada siapa lagi yang boleh aku harapkan kecuali kamu dan Juriah. Harap-harap permintaan aku ini tidak membebankan kamu suami isteri. Selama ini pun banyak yang aku sudah susahkan kamu tentang Naufal.”

“Pak Muin jangan risau. In shaa Allah, saya akan tengokkan Naufal dan bantu apa yang termampu. Saya sayangkan Naufal macam anak sendiri. Pak Muin tahukan saya ni tak ada anak lelaki. Empat-empat orang anak saya perempuan.” Ujar Kamal tersengih. Pak Muin menyambut kata-kata Kamal dengan ketawa besar.

“Beranaklah lagi..” usik Pak Muin. “Belum ada rezeki..” balas Kamal tersipu-sipu.

“Atok, hari ini memang tak ada ikanlah. Tak mengenapun pancing Naufal..” Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila kedengaran suara Naufal yang sudah berputus asa menanti jorannya dimakan ikan. Dia mengocak kakinya di dalam air hingga memercikkan air.

“Agaknyalah. Sudahlah Naufal, mari kita balik. Hari dah semakin petang. Nanti sampai rumah atok gorengkan pisang untuk Naufal ya. Kita makan pisang goreng petang ni, suka tak?” Naufal yang merajuk dipujuk oleh Pak Muin.

“Naufal suka atok! Goreng lebih sikit ya atok. Nanti boleh beri pada Mak Ju sikit. Mak Ju pun suka makan pisang goreng.” Naufal kembali bersemangat. Matanya bersinar-sinar.

“Tak lupa Mak Ju kesayangan dia. Iyalah, nanti atok gorengkan lebih sikit.” tersenyum Naufal bila mendengar kata-kata itu lalu bangun dan memimpin tangan datuknya dan berjalan beriringan menuju ke rumah mereka yang usang.

Dari kejauhan dia terlihat sebuah van berwarna kekuningan diparkir di lama rumahnya. Siapa pula yang datang petang-petang begini? Hatinya dipagut tanda tanya. Hayunan langkahnya dipercepatkan kerana tidak mahu tetamu yang masih tidak diketahuinya itu menunggu lama.

Semakin lama semakin dekat dia dan Naufal ke rumahnya. Dia mengamati perkataan yang berada di dinding van berwarna kekuningan itu. Tertulis perkataan Rumah Anak-anak Yatim Darussalam. Tiba-tiba langkah kakinya menjadi lemah. Dadanya sebak tiba-tiba. Hayunannya terhenti seketika sehingga menimbulkan kehairanan kepada Naufal di sisinya.

“Kenapa atok? Van siapa yang ada di rumah kita tu atok? Diaorang nak jumpa atok ke?” Naufal yang tidak tahu apa-apa menyoal dan menantikan jawapan dari datuknya. Pak Muin pula bagaikan terpaku berdiri tegak memandang ke laman rumahnya.

Sudah sampai masa rupanya. Mereka sudah datang. Tak sangka secepat ini atau mungkin aku yang masih tidak sanggup untuk berbuat demikian? Ya Allah, Kau kuatkanlah hatiku untuk menghadapi perpisahan ini. Aku lakukan semua ini demi Naufal Ya Allah. Aku mahukan yang terbaik untuk cucuku. Rahmatilah cucuku Ya Allah.

Sambil lafaz bismillah dia mengeratkan genggaman tangannya pada Naufal lalu tunduk memandang ke arah Naufal. “Mari Naufal, atok nak kenalkan Naufal pada seseorang.” Dia cuba mengukirkan senyuman namun terlalu hambar senyuman itu.

Tanpa banyak karenah Naufal menganggukkan kepala dan mengikut langkah Pak Muin menuju ke rumah mereka. Dari jauh kelihatan dua orang wanita dan seorang lelaki dewasa sedang tersenyum menanti mereka di pangkin bawah pohon rambutan yang rendang  di laman rumah.

‘Maafkan atok Naufal. Atok lakukan semua ini kerana atok sayangkan Naufal..’  

------------------------------------------------------------------

© 2014 Suria Shafie, Rumah Tangga Pusing.

251 - Aku hamba-Mu yang lemah



Assalamualaikum...

Pagi Jumaat yang menenangkan. Hujan turun sejak subuh hingga sekarang masih tak berhenti. Tak lebat tapi kadang-kadang renyai. Berterusan. Sejuk bumi Tuhan pagi ini. Alhamdulillah.

Namun hati aku masih tidak tenang. Banyak perkara yang aku fikirkan. Dan yang pasti aku masih menahan sesuatu yang sepatutnya aku lepaskan. Aku takut hendak lepaskannya. Entah mengapa aku berperasaan begini? Sedangkan sudah nekad di dalam hati untuk melepaskannya tapi akhirnya aku kalah dengan perasaan sendiri. Aku sayang nak lepaskan ia. Terlalu sayang hingga membodohkan diri sendiri.

Aku sedih dengan sikap aku begini. Tak tetap pendirian. Sampai bila aku mahu begini? Aku sendiri tiada jawapan. Pokok pangkalnya hati sendiri kan?

Memang senang untuk menasihati orang lain, tapi bila terkena pada batang hidung sendiri...baru tahu bagaimana perasaan itu.

Ya Rabb.. berikan aku kekuatan dan sambutlah doa-doaku selama ini yang tidak pernah jemu aku titipkan setiap kali selepas solat. Makbulkan pemintaanku Ya Allah... kasihani hamba-Mu ini. Berikan setitis harapan dan sejalur cahaya untuk aku membina kembali keyakinan diri ini yang semakin menghilang. Aku amat lemah tika ini. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, bantulah aku...


Thursday, April 10, 2014

250 - CERPEN : SAYA KERJA DRIVER SAJA


Saya Kerja Driver Saja
Suria Shafie


Haryani menatap wajah ibu dan ayahnya dengan penuh kerisauan. Ada ketegangan di wajah ibunya namun ayahnya pula beriak selamba. Nazrul yang duduk di sofa di hadapan mereka kelihatan tenang dan tidak mengalihkan pandangan dari wajah ibu dan ayah Haryani.

Haryani sudah panas punggung menanti kata putus dari mereka. Debaran di dada tidak terkira. Bagai hendak terkeluar jantungnya tika ini. Jika dapat diukur degupan jantungnya ketika ini, kalah pelari 100 meter degupannya.

“Betul kamu kerja driver saja?” Sambil berkerut dahi Pn. Hasnah menyoal kepada Nazrul.

“Ya makcik. Saya kerja driver!” Begitu yakin sekali Nazrul mengiakan pertanyaan dari Puan Hasnah.

“Abang..” bisikan dari Puan Hasnah kepada suaminya Encik Zainal begitu jelas di telinga Haryani dan Nazrul. Nazrul memandang Haryani yang duduk tidak jauh darinya. Haryani membalas pandangan itu lalu mengorak senyuman hambar.

“Ehem...”

Sempat Encik Zainal berdehem sebelum menarik nafas lalu menghembus berat.

“Betul kamu kerja driver?” Soalan yang sama diajukan kepada pemuda di hadapannya itu.

Kali ini Nazrul tersenyum dan menganggukkan kepalanya berkali-kali. “Ya, pakcik. Saya kerja driver.”

Encik Zainal pula menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Jadi, kamu datang ke sini untuk beritahu kepada kami yang kamu ingin berkahwin dengan Haryani?”

“Ya, pakcik. Saya ingin mengambil Haryani sebagai isteri saya yang sah!”

Bagaikan skrip drama pula Nazrul melafazkan kata-kata itu. Begitu yakin dengan tujuan kedatangannya pada petang itu berjumpa dengan kedua ibu dan bapa Haryani.

Suasana kembali sunyi. Puan Hasnah mempamerkan riak muka tidak menyenangkan. Encik Zainal masih tenang dan memandang kepada Haryani.

“Yani, macam mana?”

Tersentak Haryani dengan soalan dari ayahnya itu. Dia meramas-ramas jari-jemarinya dengan kuat. Gelisah. Berdebar-debar.

Nazrul dikenalinya enam bulan yang lalu secara kebetulan ketika dia mengalami kemalangan kecil di lampu isyarat di Jalan Ipoh. Dia terlanggar belakang kereta seorang wanita lain yang memberhentikan keretanya secara tiba-tiba. Kebetulan Nazrul yang memandu di belakangnya membantu menyelesaikan masalah itu.

Dari perkenalan itu terjalin persahabatan dan akhirnya mengikat hati kedua-duanya. Walaupun hanya saling mengenali dalam sesingkat itu, Nazrul mengambil keputusan untuk menyunting Haryani menjadi suri hatinya. Keputusan itu disambut Haryani dengan hati terbuka. Baginya perhubungan itu menjadi lebih indah sekiranya diikat dengan ijab dn kabul. Lebih barkah.

“Yani... Yani...” Haryani kehilangan kata-kata. Ingin dia mengaku bersetuju tapi setelah melihat reaksi ibu dan ayahnya, dia mula gusar sekiranya niat mereka tidak dipersetujui oleh ibu dan ayahnya.

Haryani memang mengetahui Nazrul bekerja sebagai pemandu. Dia tidak kisah dengan pekerjaan lelaki itu kerana dia jujur dan ikhlas terhadap Haryani. Lagipun Nazrul amat menghormatinya sebagai seorang wanita. Mereka tidak bercinta seperti pasangan uda dan dara yang lain. Sebaliknya dari pandangan dan bahasa tubuh sudah cukup untuk menyatakannya.

Nazrul memandang Haryani dengan tenang.

‘Ahhh... kenapa kau begitu tenang begini?’ Detik hati Haryani melihat wajah Nazrul.

“Yani?” Puan Hasnah pula memanggilnya sambil mengangkat kening.

Dengan membisikkan bismillah di dalam hati, Haryani tekad.

“Yani terima Nazrul ibu...” Ucapnya sambil menundukkan wajahnya dan memandang ke jari-jemarinya yang dikepal-kepal. Sejuk seluruh jari-jemarinya tika ini.

“Hah?? Kamu sungguh-sungguh Yani?” Bagaikan tidak percaya Puan Hasnah mendengar kata-kata anak tunggalnya.

“Dia kerja driver!” Puan Hasnah menekankan perkataan driver tu.

“Hasnah...!” Encik Zainal menegah dengan lembut perlakuan isterinya itu.

“Ya ibu.. Yani terima dia seadanya. Yani percaya dia dapat menjaga dan membahagiakan Yani.” Kali ini Haryani semakin yakin dengan kata hatinya. Menerima Nazrul sebagai imamnya jika itu ditakdirkan oleh Allah.

Terdengar keluhan berat keluar dari mulut ibunya. Dia tahu ibunya kecewa dengan keputusannya. Setiap ibu menginginkan anaknya berkahwin dengan seseorang yang berkerjaya bagus-bagus sebagai jaminan masa hadapan anak gadisnya.

“Abang...” Rengek Puan Hasnah kembali memandang wajah suaminya di sebelah kirinya.

Encik Zainal menganggukkan kepalanya sambil menepuk-nepuk tangan isterinya yang kegelisahan di sebelahnya.

“Pakcik... makcik... saya tahu mungkin saya bukan lelaki pilihan pakcik dan makcik untuk menjadi suami kepada Haryani. Tapi saya ikhlas kepada Haryani dan saya sukakan Haryani. Izinkan saya untuk mengambil Haryani sebagai isteri saya yang sah. Saya berjanji akan menjaga dan mendidik Haryani untuk menjadi seorang isteri yang solehah selagi hayat saya dikandung badan dan tak akan mensia-siakan dia.” Sekali lagi Nazrul berkata dengan yakin. Kali ini wajahnya menggambarkan kesungguhan hatinya terhadap Haryani.

“Beginilah Nazrul... betul kamu akan berpegang pada janji-janji kamu ini?” Encik Zainal menyoal.

“Betul pakcik!” pantas jawapan dari Nazrul.

“Baiklah. Memandangkan kamu berdua sudah suka sama suka. Pakcik dan makcik tiada halangan. Nanti minta keluarga kamu datang untuk merisik bulan depan. Berkawan lama-lama pun tidak manis. Biarlah kita ikatkan kamu berdua dengan ikatan yang sah.”

Terlopong Puan Hasnah mendengar kata-kata suaminya itu. Dia seakan tidak percaya begitu mudah sekali suaminya menerima lamaran dari lelaki muda di hadapan mereka ini. Lelaki yang hanya bekerja sebagai pemandu hendak digandingkan dengan anak gadisnya yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat multinasional di ibukota.

“Apa abang buat nie?” sedikit membentak dia menyoal suaminya.

Encik Zainal tidak membalas sebaliknya hanya tersenyum kepada isterinya yang berwajah masam.

Nazrul dan Haryani menarik nafas lega setelah mendengar kata-kata Encik Zainal. Walaupun masih terselit kegusaran apabila melihat reaksi ibu Haryani, sekurang-kurangnya ayah Haryani sudah memberi keizinan. Selebihnya hanya perlu memujuk dan meyakinkan ibu Haryani sahaja.

“Mereka sudah suka sama suka. Biarlah... Kita perlu beri restu sahaja pada mereka. Awak nak halang kenapa?”

“Dia kerja driver!!”

“Driver pun pekerjaan juga. Ada kerja untuk tanggung anak kita. Bukannya tak bekerja! Janji pekerjaan itu halal!” Kata-kata En Zainal yang sedikit meninggi membuatkan Puan Hasnah sedikit tersentak. Dia memahami maksud itu yang mana suaminya sudah membuat keputusan dan tidak boleh dibantah lagi. Dua puluh lapan tahun berkahwin dengan lelaki itu cukup untuk dia memahami perangai suaminya itu.

Puan Hasnah terdiam dan hatinya sedikit terkilan dengan keputusan suaminya yang mengikuti kehendak anak gadisnya untuk menerima lamaran pemuda yang hanya bekerja sebagai driver. Sedih hatinya untuk menerima kenyataan yang menantunya hanya seorang driver!

“Terima kasih pakcik...makcik. Saya akan hubungi keluarga saya untuk memberitahu berita gembira ini. Saya minta diri dululah kalau begitu.” Begitu ceria sekali Nazrul sambil memandang wajah Haryani. Senyuman manis dihulurkan buat Haryani yang turut sama membalas senyuman itu. Dia tidak menyangka ayahnya akan memberi kebenaran dan restu.

“Iyalah. Jangan lupa minta keluarga kamu hubungi kami untuk bincang tarikh dan masa yang sesuai untuk keluarga kamu datang berbincang.” Sekali lagi Encik Zainal mengingatkan Nazrul. Nazrul menganggukkan kepalanya dengan bersemangat lalu bingkas bangun dan menghulurkan tangan kepada Encik Zainal.

“Oh, ya... kamu selalu drive hantar barang ke mana?” soal Encil Zainal sambil menyambut huluran tangan Nazrul.

“Err... selalunya ke luar negara.” Balas Nazrul teragak-agak.

“Luar negara?” soal Encik Zainal tidak percaya.

“Iya pakcik.”

“Ke mana? Thailand? Singapura?”

“Tak juga. Kadang-kadang US, Australia dan lain-lain tempat.” Jawab Nazrul jujur.

US? Australia? Kamu driver apa sebenarnya?’ Kali ini Puan Hasnah pula menyoal dengan kerutan di dahi. Biar betul bawa lori sampai ke Amerika dan Australia?

“Oh, saya driver kapalterbang makcik. Pilot!” jawab Nazrul penuh makna. Dia tersenyum-senyum sambil mengenyitkan mata kepada Haryani yang turut terlopong mendengar kata-kata Nazrul itu.

Memang selama dia berkawan dengan lelaki itu tidak pernah sekali pun dia bertanya tentang pekerjaan sebenar lelaki itu. Nazrul hanya memberitahunya dia bekerja sebagaidriver dan dia tidak pula menyoal lebih lanjut tentang pekerjaan lelaki itu.

“Allahuakhbar....!!” tidak semena-mena lengan Nazrul ditepuk oleh Puan Hasnah lalu ketawa besar. Encik Zainal juag turut ketawa melihat gelagat isterinya. Terkena mereka sekeluarga. Nazrul dan Haryani turut ketawa melihat gelagat Puan Hasnah itu.

“Terkena kita ye...” Ucap Encik Zainal dengan senyuman penuh makna. Dia tahu kini siapa lelaki yang bernama Nazrul ini dan dia tidak ralat lagi untuk memberi restu kepada lelaki ini untuk memperisterikan anak gadisnya.

“Menantu kita pilot bang!!” Puan Hasnah teruja setelah mendengar pekerjaan sebenar Nazrul.

“Bakal menantu...” Encik Zainal tersenyum membetulkan kata-kata isterinya yang begitu gembira.

“Iyalah... bakal menantu...” ucap Puan Hasnah sambil menjeling tersipu-sipu pada suaminya yang sudah ketawa besar.


© 2014 Suria Shafie, Astaka Seni.

Wednesday, April 09, 2014

249 - Faham ke tak faham?

Aku kira dia faham
tapi rasanya tak faham
tapi macam faham
kalau tak faham
macam mana nak bagi faham?
takkan itupun tak faham?
nak bagi faham macam mana lagi?
cenggitu pon susah nak faham?
apa ke susah sangat nak faham?
ish.. tak faham...tak faham..
sudahnya aku pon tak faham..

faham ke tak faham?



Friday, March 21, 2014

248 - Semakin tenang

Alhamdulillah...

Hati ini semakin tenang.. semakin dapat menerima ketentuan Ilahi. Walaupun ada tikanya ianya diusik akan terasa goyah juga, namun aku akan kembali sedar supaya tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan yang sentiasa cuba untuk menggangu ketenangan ini.

Walaupun begitu, aku perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.

Memang hati ini sudah tenang tapi apa yang akan berlaku memang bukan dalam jangkauan kita kan.. Semula dalam tangan Dia. Kita hamba-Nya yang tidak mengetahui apa yang Dia ketahui..

Segalanya aku redha Ya Rabb.. semoga apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Husnuzon..

Thursday, March 13, 2014

247 - Aku Tidak Meminta Seseorang Yang Sempurna (via Blog AKU ISLAM)


Ya Allah…
Aku tidak meminta seseorang yang sempurna dari sisiMu, tidak ya Rabb…kerana Engkau pun pasti Maha Mengetahui sesungguhnya keadaanku,Engkau tahu dulu aku ini hanyalah musuhMu yang pernah singgah di jurang nerakaMu,dan akupun tahu, tiada seorangpun yang sempurna di dunia ini dari kesalahan atau kekurangan,
Seseorang yang kan kucintai kerana keindahan akhlaknya
Seseorang yang kan kukasihi kerana kehalusan budinya
Seseorang yang kan kukagumi keranakesantunan sikapnya
Seseorang yang kan kupuja kerana kerendahan hati dan kesederhanaannya
Seseorang yang mahu menerimaku seikhlas hatinya…
Yang tak akan pernah ku menduakan cintanya hingga akhir hayatku tiba
Seseorang yang kan ku hibur hatinya bila dia sedang bersedih
Seseorang yang kan ku sapu air matanya ketika dia menangis
Seseorang yang kan ku jadikan bahuku tempatnya bersandar saat dia penat
Seseorang yang kan ku dengar  segala kuluh – kesahnya
Seseorang yang kan ku pertaruhkan nyawaku demi menjaga kehormatannya
Seseorang yang ketulusan dan kesetiaan hati ini hanyalah untuknya…                                      Yang kan slalu kujanji membersamanya hingga malaikat maut menjemputku tiba
wahai Tuhan yang memegang rahsia segala sesuatu,
jadikanlah aku redha terhadap apa-apapun yang Engkau tetapkan
Wahai Tuhan yang memegang hikmah segala sesuatu,
Andai Engkau berkehendak lain,
Sesungguhnya sebenar-benarnya kehidupan adalah kehidupan akhirat,
Maka jadikanlah kehendakMu, bukan kehendakku
Maka, aku meminta padaMu seorang yang tak sempurna ya Rabb, supaya dia merasa sempurna ketika diriku hadir dalam kehidupannya keranaMu
Seseorang yang kan kusayangi kerana kelembutan hatinya
Ya Allah…
Dan jadikan barakah dalam apa-apa yang Engkau takdirkan,
"Sesungguhnya aku tidak mengetahui, sedangkan Engkau Maha Mengetahui, Takdirkanlah kebaikan bagiku, dan jadikanlah hatiku meredhainya…"

246 - Masih mencari rentak


Tersentak aku sejenak
menerima kehilangan yang tidak disangka
alam seakan terhenti seketika
begitu kabur dan hening...

Aku cuba bangkit
berlari keluar dari kekaburan itu
berlari meninggalkan saat hening itu
namun kaki ini seolah-olah terbelenggu
ditambat rasa yang tidak terluah

Aku gagahkan diri jua
perlahan-lahan merungkai tali rasa
senak di dada terbuku di jiwa
aku tahu aku perlu kuat
cabaran di hadapan belum tahu apa jadinya
mungkin lebih hebat dari ini

Dan kini
aku masih mencari rentak
moga jalanku tidak goyah
langkahku tidak sumbang
dan mampu mengangkat wajah dengan gah

Ya, aku masih mencari rentak...





Monday, March 10, 2014

245 - Kehilangan

Al-Fatihah...

Masih terkejut dan seperti tidak percaya yang abah sudah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. tanggal 4 Mac 2014 aku kehilangan abah tersayang.

Semoga roh abah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Ameen...

Thursday, February 27, 2014

244 - Sekeping hati ini



















Indah hanya dalam mimpi,

realiti menusuk pedih di hati,
meninggalkan luka bagai terpatri.

Cekal membalut luka kembali,
sambil membilang bilah-bilah hari,

Apakah ada sinar mentari,
di hujung penantian dia berdiri,
menghulur tangan sambil tersenyum menanti dan berkata,
"Takkan kubiarkan dikau keseorangan lagi..."

Wednesday, February 26, 2014

243 - Bukan gurauan

Soal kahwin dua tiga empat bukan gurauan bagi perempuan dan isu itu TABOO bagi perempuan walaupun ianya keluar dari mulut kawan-kawan lelaki.

Memang soal jodoh bukan ketentuan kita tapi bagi aku sangat-sangat tak suka bila ada kawan lelaki yang bercakap begitu. Mungkin tidak bermaksud apa-apa tapi tetap tidak suka didengar.

Maaflah jika aku terlalu sensitif.. tapi itulah diri aku!

Tuesday, February 25, 2014

242 - Istikharahku...

Solat istikharah selalunya dilakukan oleh seseorang yang keliru dalam membuat keputusan. Tapi selalunya terjadi selepas melakukan istikharah, hati semakin jadi keliru. Mengapakah?!

Bercakap tentang istikharah, aku selalu buat especially berkaitan soal hati dan jiwa kacau..hehehe... dan alhamdulillah setiap kali istikharahku disambut ALLAH dengan memberi panduan melalui gerak hati atau kejadian yang akan membuatku dapat membuat keputusan yang tepat. Walaupun petunjuk/petanda yang ALLAH berikan itu memerlukan aku melalui kesedihan, kekecewaan & keperitan hati tapi di akhirnya keputusan itu tepat  & terbaik buat diri aku. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Dan sekarang aku kembali menagih pertolongan dan bantuan dari-Nya berkenaan sesuatu ini. Kali pertama dan kedua aku lakukan istikharah, jawapan yang aku dapat adalah sama. Tapi aku takut sekiranya petanda/petunjuk yang aku dapat hanyalah berdasarkan kecenderungan hati aku. Ini kali ketiga aku cuba untuk mendapatkan petunjuk/petanda dan kepastian dari ALLAH. Sebabnya hati aku neutral sekarang. Tiada kecenderungan pada apa-apa.

Semoga aku mendapat petanda/petunjuk yang tepat kali ini. Ameen....!

p/s Nah, aku kongsikan cara-cara untuk buat solat istikharah untuk panduan kita bersama. :)





Tuesday, February 18, 2014

241 - Berubah

Manusia seringkali takut untuk berubah. Tambah-tambah lagi mereka berada di dalam 'kawasan selamat' mereka. Dan ironisnya, aku adalah salah seorang daripada manusia yang berada dalam situasi itu.

Aku  cuba untuk menerima perubahan ini sekiranya memang begitu perjalanan hidup ini.

Semoga perubahan atau peralihan angin ini walaupun akan bertukar 'kawasan jajahan' memberi sesuatu yang bermakna. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Siapa tahu kan?

Sesungguhnya ALLAH itu perancang terbaik!